Bekerja Di Dalam Atau Ke Atas Perniagaan?

Setiap usahawan ada kaedah masing-masing di dalam membina perniagaan mereka. Kaedah ini biasanya dipengaruhi oleh latar belakang dan juga kecenderungan mereka.

Orang yang ada latar belakang mengeluar produk mungkin lebih gemar untuk mempastikan produk yang dikeluarkan dengan sempurna. Orang yang berlatar belakangkan pemasaran pula akan fokus lebih kepada pemasaran. Orang yang gemar belajar akan mengubah kaedah berniaga mengikut saranan guru-guru mereka. 

Perniagaan ni ada banyak aspek. Sekurang-kurangnya ada aspek strategi, pengeluaran, pemasaran, modal insan, kewangan dan pematuhan. Setiap aspek perlu dibentuk dan dikembangkan selari dengan keperluan perniagaan. 

Sekiranya seorang usahawan menumpukan fokus kepada aspek-aspek perniagaan yang dia cenderung dan suka sahaja, aspek-aspek lain perniagaan boleh terabai. Akhirnya ini akan membantutkan perkembangan perniagaan secara keseluruhan.

Perniagaan yang berkembang pesat juga memang memerlukan perhatian dari orang yang menubuhkannya. Dari mengeluar nak kena menjual, kena pula mencari modal di samping menubuhkan pasukan untuk menjalankan kerja-kerja di dalam perniagaan. Proses dan sistem kena diadakan bagi menjadikan operasi laju dan efektif. Ini semua akan menjadikan usahawan berkenaan sentiasa sibuk dan mudah terlekat kepada perkara-perkara yang memerlukan tindakan segera. Akhirnya dia sibuk bekerja di dalam perniagaannya.

Untuk mempastikan perniagaan diurus, ditadbir dan dipimpin dengan lebih berimbang, seseorang usahawan kena berusaha ke atas perniagaannya. Dia kena secara beransur-ansur melepaskan tugasan yang spesifik kepada orang-orang yang berkelayakan dan boleh menumpukan perhatian bagi menjalankan tugasan itu dengan baik dan efisyen. Usahawan pula kena menumpukan kepada perkara-perkara yang lebih strategik bagi mempastikan dia dapat mengenal pasti peluang baharu, menangani risiko yang mendatang dan membangunkan perniagaan secara keseluruhan, bukannya di dalam aspek-aspek yang dia suka sahaja.

Bagi mencapai tujuan ini, pemilihan ahli-ahli pasukan hendaklah dibuat dengan teliti agar mereka bukan sahaja mampu melakukan sesuatu fungsi tetapi boleh merancang dan juga mengurus fungsi berkenaan, sama atau lebih baik dari apa yang telah dilakukan oleh pengasas perniagaan. Apabila setiap fungsi kritikal ada orang yang boleh dipercayai menguruskannya, maka usahawan boleh menumpukan perhatian kepada usaha ke atas perniagaan. Ke mana perniagaan hendak dibawa, bagaimana nak sampai ke situ? Apa peluang yang ada dan apakah risiko yang akan menghalang perkembangan perniagaan seperti yang disasarkan?

Sebuah kapal atau feri yang besar dikemudikan oleh seorang kapten. Satu persoalan penting yang kita perlu tanya ialah di manakah duduknya kapten berkenaan? Walaupun sebuah kapal yang besar memerlukan enjin yang bertenaga tinggi untuk menolaknya melawan arus di lautan, kapten tidak duduk di bilik enjin. Di situ sudah ada jurutera yang mahir yang akan mempastikan enjin sentiasa berfungsi dan kapal terus belayar ke destinasinya.

Kapten berada di bahagian kapal yang membolehkannya mendapat pandangan hadapan yang terbaik. Dia juga dibekalkan dengan pelbagai maklumat dan data agar dia boleh mengetahui arah dan kekuatan arus, angin serta gelombang. Ini semua membantu kapten bagi mempastikan kapal sampai ke destinasi dengan selamat pada waktu yang ditetapkan.

Tugas usahawan di dalam membangunkan perniagaan samalah dengan tugas kapten kapal. Dia yang menetapkan arah tuju kapal dan mengemudi kapal di dalam mengharungi pelbagai cabaran di lautan. Dia dibantu oleh ahli pasukan yang terpilih dan mampu di dalam bidang masing-masing. Semua mereka bekerja untuk mencapai matlamat yang sama. Inilah maksudnya bekerja ke atas perniagaan.

Tinggalkan komen