Apa sahaja pekerjaan yang kita buat adalah peluang yang Allah beri untuk kita gunakan bagi mendapat redha Allah SWT. Apa lagi bagi institusi berkaitan agama.
Setiap pekerjaan, dari sekecil-kecinya seperti pembersih tandas sehingga sebesar-besarnya seperti CEO dan ahli lembaga pengarah, semuanya ada peluang untuk menjadikan pekerjaan itu sebagai ibadah. Pada saya, masih ramai lagi umat Islam yang berasa hanya beribadah di ketika solat, puasa, mengerjakan haji dan membayar zakat. Apa yang dihadap setiap hari di pejabat atau di dalam perniagaan yang dijalankan tidak dianggap ibadah sedangkan di dalam Islam makna ibadah itu amat luas.
Oleh itu, gunakanlah peluang yang ada sepenuhnya. Fahami makna bekerja di institusi sebegitu, tugasnya kepada agama dan masyarakat dan berusahalah dengan bersungguh-sungguh sementara ianya ada di tangan kita. Selepas itu, kita hanya mampu untuk komen dari tepi sahaja.
Makna berkhidmat dengan institusi-institusi berasaskan agama ini memang wujud secara asali lagi. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab orang yang mentadbir, mengurus dan memimpin institusi-institusi ini untuk memahamkan maknanya kepada setiap warga institusi.

Saya ambil contoh Lembaga Tabung Haji. Ia ada 2 tugas besar, menjaga harta umat Islam yang mendepositkan simpanan mereka di Tabung Haji bagi menabung untuk menunaikan haji serta membantu umat Islam untuk menyempurnakan agama mereka melalui ibadah haji. Oleh yang demikian, segala usaha untuk mewujudkan sistem, proses, peraturan dan menjalankan perkara-perkara itu akan menjadi ibadah. Inilah makna bekerja di institusi sebegini.
Malah, kegagalan menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan cemerlang boleh menjadi masalah besar dengan Allah SWT di akhirat nanti kerana kerja-kerja seperti di Tabung Haji melibatkan hak-hak manusia yang diamanahkan kepada institusi itu. Jadi, menjaga solat sahaja tak cukup jika pelaburan dibuat sambil lewa, tak ada penilaian yang mantap, kawalan dalaman bolos dan pengurusan risiko longgar. Mungkin kaedah-kaedah pengurusan moden ini tidak disebut oleh agamawan sebagai ibadah tetapi kita semua faham menegakkan maksu shariah (Maqasid Shariah) seperti menjaga nyawa dan harta ada nilainya di sisi Allah.
Jika usaha kita tidak diiktiraf oleh manusia, tak apa. Apa yang lebih penting ialah nilainya di sisi Allah SWT. Sebaliknya, jika kita tidak jujur dan amanah dan orang lain tak tahu, Allah Maha mengetahui. Bayangkan soal jawab dengan Allah di akhirat nanti. Adakah kita sudah melaksanakan amanah dan tanggungjawab kita dengan cara yang tebaik atau sekadar seperti pahat dengan penukul sahaja?
Dikatakan seorang pembersih tandas di NASA telah ditanya oleh Presiden Amerika “apa yang kamu buat di sini?”. Pencuci tandas itu menjawab “saya membantu untuk menghantar manusia ke bulan”. Jika orang seperti itu pun faham akan makna bekerja dengan agensi seperti NASA, tentunya orang-orang yang bekerja dengan institusi-institusi berasaskan agama akan lebih bersemangat untuk mengambil peluang untuk menyumbang kepada agama dan masyarakat.
Inilah punca peningkatan prestasi organisasi dan ahli pasukan. Pemimpin kena tanam makna bekerja di dalam jantunghati warga organisasinya.
