Malaysia adalah sebuah masyarakat majmuk yang mana kita merayakan pelbagai perayaan berdasarkan agama dan kaum. Bagi orang yang berniaga, ianya merupakan peluang untuk menjual barangan mereka. Di dalam masa yang sama, musim perayaan juga akan memberikan tekanan ke atas aliran kewangan.
Semasa saya menjalankan firma perakaunan di satu masa dahulu, kami menguruskan aliran tunai firma berdasarkan perkara-perkara tertentu termasuk musim perayaan. Ini adalah kerana persediaan menghadapi musim perayaan bermula lebih awal dan kesan musim perayaan ke atas aliran kewangan boleh jadi lebih panjang selepas ianya berlalu. Apabila berlaku pertembungan yang melibatkan dua perayaan yang besar, kesannya kena dikaji dengan lebih teliti agar kita akan menjadi lebih bersedia sebagai sebuah perniagaan.
Oleh kerana perayaan dirayakan oleh manusia, mereka bukan sahaja berharap gaji mereka dibayar terlebih awal bagi membolehkan mereka bersedia untuk menyambut perayaan, ada yang mengharapkan duit hari raya dan seumpamanya dari majikan mereka. Majikan yang bertanggungjawab akan mempastikan mereka mengumpul dana bagi memenuhi harapan ini. Jadi, majikan pun akan berkira-kira perbelanjaan mana yang kena dibayar dahulu dan yang mana boleh dilewatkan agar dana untuk hari perayaan mereka cukup.

Jika perniagaan kita masuk di dalam kategori pembayaran yang boleh dilewatkan, kita akan menghadapi cabaran aliran tunai sekiranya kebanyakan pelanggan-pelanggan kita bersikap demikian. Sebagai langkah proaktif, perniagaan yang termasuk di dalam kategori ini akan cuba membekalkan barangan atau memberikan perkhidmatan jauh lebih awal sebelum musim perayaan tiba. Jika mereka boleh mengutip hasil jualan dan perkhidmatan mereka, aliran tunai perniagaan tidak akan terjejas.
Di satu pihak lagi ialah pembekal. Mereka juga akan berusaha untuk mendapatkan bayaran mereka secepat mungkin, sama seperti taktik kita. Ini bermakna kita pun kena ada perancangan berkenaan bagaimana pembekal-pembekal dibayar agar kita juga berlaku adil dengan mereka. Biasanya pembekal yang akan beraya akan diberi keutamaan berbanding dengan pembekal yang tidak terlibat dengan perayaan yang bakal menjelang, sekiranya kita mempunyai had dari segi kemampuan untuk membayar.
Perniagan juga kena bersedia untuk menghadapi suasana perniagaan selepas musim perayaan. Oleh kerana orang-orang yang merayakan perayaan biasanya berbelanja sakan sebelum dan hari perayaan, mereka akan kekurangan dana untuk berbelanja selepas musim perayaan. Ini akan memberi kesan ke atas perniagaan yang berbentuk runcit. Oleh itu, persediaaan aliran tunai musim perayaan kena juga mengambil kira penurunan aliran tunai selepas musim perayaan.
Apa yang dibincangkan di atas menunjukkan bertapa pentingnya perniagaan mempunyai kaedah dan sistem pengurusan aliran tunai yang dinamik dan mengambilkira realiti dan keperluan di dalam pasaran. Ini tidak boleh wujud sekiranya tidak ada perancangan yang sistematik dan dibantu dengan data-data kewangan yang bukan sahaja memberi kita kefahaman berkenaan apa yang telah berlaku tetapi boleh memberikan gambaran apa yang akan berlaku di masa hadapan.
Ini bermakna perniagaan perlu melabur di dalam mendapatkan orang-orang yang berilmu dan berbakat di dalam menguruskan kewangan perniagaan. Mereka juga perlu dibekalkan dengan sistem yang membantu mereka menguruskan hal ehwal kewangan dan aliran tunai perniagaan dengan cekap dan penuh berdisiplin.
Lagi jauh ke hadapan skop pemerhatian kita, lagi tinggi peluang bagi kita untuk menguruskan perniagaan kita dengan berkesan. Bertindak di kala masalah sudah berada di hadapan mata tu kira dah terlewat lah.
Artikel ini telah disumbangkan kepada akhbar Sinar Harian bagi kolum Nasihat Pok Nik Deen.
