Saya selalu memikirkan hikmah mengapa Rasulullah SAW mengajar kita supaya berdoa di dalam setiap solat agar Allah SWT menghindari kita dari fitnah Dajjal.
Tentunya zaman baginda dan kemunculan dajjal masih jauh namun doa ini disarankan di ketika itu lagi.
Sefaham saya, sebelum kemunculan Dajjal, akan berlaku kemarau yang dasyat yang menyebabkan makanan dan air menjadi sukar untuk didapati. Ini menyebabkan manusia mudah bergantung kepada sesiapa yang dapat meringankan cabaran hidup di kala itu. Apabila Dajjal muncul dengan pelbagai aksi dan perkara yang mengkagumkan, tentunya manusia mudah percaya kepadanya walaupun syurga yang Dajjal tawarkan sebenarnya neraka dan begitulah sebaliknya.
Pada saya, fitnah (kefasadan) yang dibawa oleh Dajjal ialah memesong manusia dari kebenaran. Apabila disebut kebenaran, neracanya ialah ajaran Islam melalui Al Quran dan As Sunnah. Mana ada sumber lain, kan? Namun, disebabkan keadaan yang mencabar, manusia terdesak untuk memenuhi hajat kehidupannya. Di sinilah fitnah Dajjal ini menjadi amat merbahaya.
Apa yang perlu kita tanya pada diri sendiri ialah adakah kita sekarang ini selamat dari dipesongkan sama dengan risiko ketika berhadapan dengan Dajjal? Di era langit terbuka, macam-macam perkara boleh sampai kepada kita samada secara fizikal dan lebih-lebih lagi secara maya. Media sosial, contohnya, menjadikan manusia lebih mudah untuk berpuak-puak, sama seperti di era Jahiliyyah di zaman Nabi.
Apabila berpuak-puak menjadi asas, maklumat dan pelbagai propaganda tidak disaring di atas kekuatan fakta dan hujah tetapi diterima bulat-bulat di atas dasar “adakah ini dari puak kita?”.
“Perjuangan” berdasarkan puak ni ada macam-macamlah. Ada yang berasaskan prinsip agama, ada yang berasaskan tok nenek, tokoh yang dipuja dan ada yang berasaskan pemikiran tuan tanah. Ini bermakna, jika kita tidak mahu mengambil risiko yang sama seperti di dalam senario berhadapan dengan Dajjal, kita kena berhati-hati di dalam menilai berita dan menjauhi kaedah “asal dari puak kita, semuanya benar”.

Memanglah orang seperti saya ini tidak belajar agama dengan mendalam. Namun, kita boleh menilai asas ilmu dan kecenderungan manusia yang kita mahu bergantung kepada pandangan mereka. Bukannya susah nak bezakan siapa yang berusaha mahu membesarkan Allah dan Rasul berbading dengan yang lebih membesarkan tradisi dan puak. Allah SWT menjadikan kita terikat dengan hukum apabila akal kita sihat. Jadi, tentunya menggunakan akal ada nilai di dalam agama.
Sebelum ini saya tulis berkenaan orang-orang beriman sentiasa positif. Frust dan mengejak-ejek orang itu adalah seruan Iblis. Jadi, untuk kekal positif, hidup kita kena ada asas dan piawaian yang kukuh, apa Allah kata dan apa yang Rasul ajar. Carilah mana-mana agamawan yang berilmu dan ikhlas di dalam perkara ini untuk dijadikan panduan. Sekarang, kita boleh belajar dari pelbagai orang termasuk yang berada di luar negara.
Hanya dengan ilmu yang berasaskan sumber yang asal kita boleh membina kekuatan diri untuk mengharungi kehidupan yang amat mencabar dari segi apa yang benar dan apa yang batil seperti sekarang ini.
Walaupun Dajjal belum muncul, janganlah kita terpesong tanpanya. Ingat, kejahilan adalah musuh yang besar. Mungkin itulah sebabnya, musuh utama Rasulullah SAW digelar Abu Jahal.
