Apabila manusia diajar bahawa dia berhak untuk berjaya kerana status keturunannya, saya tidak pelik jika ramai dari golongan berkenaan menunggu-nunggu bila hak mereka itu nak sampai seperti yang dijanjikan dan dislogankan dari dahulu lagi tu.
Sebaliknya, jika dari kecil lagi sudah dibuaikan dengan amaran “jika kamu tidak berusaha untuk berjaya bila besar nanti, tidak ada orang yang akan menjaga kamu” tentunya anak yang dibesarkan berdasarkan amaran itu akan sedar diri dan berusaha tanpa banyak bergantung kepada orang lain.
Saya ni berfikiran simplistik. Tengok gambaran besar, cari asas dan prinsip dan tetapkan pendirian saya. Mungkin banyak kali saya tepat dan tak kurang banyaknya saya silap.
Namun, perangai bergantung kepada orang lain ini sudah dibahaskan oleh Za’ba di dalam bukunya “Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri”. Saya kongsikan satu bahagian dari apa yang beliau tuliskan:
“Kerana apa-apa perkara pun ia sentiasa dengan mudah memikirkan dirinya lemah, tiada berdaya upaya, tidak mampu masuk berlumba, dan tiada percaya akan dapat berjaya di dalam perlumbaan itu jika tidak ditolong orang. “Jika tidak ditolong orang”! itulah suatu syarat yang keji dan membawa hina. Fikiran dan perasaan demikian ialah tiada bergantung kepada diri sendiri namanya, kerana tiada percaya akan kebolehan diri sendiri itu”.

Orang seperti Za’ba bukannya seperti saya. Dia lebih arif akan bangsanya. Bukankah dia dinobatkan sebagai Pendeta? Oleh itu, jika beliau telah memberi amaran akan bahayanya sikap atau perangai yang suka bergantung dengan orang lain, wajarkan kita memperteguhkan sikap kebergantungan itu di dalam polisi-polisi dan juga kehidupan? Malah, kita tambah lagi, salahkan orang lain jika kita tidak berjaya.
Ada satu komen Za’ba yang menarik yang mungkin boleh menerangkan mengapa berharap menjadi perangai kita.
“Tidak pernah disuruh ia mengira dirinya itu mesti bergantung kepada doa orang sahaja atau kepada ‘fidyah’ penebus yang dibuatkan orang sahaja bagi mendapatkan kejayaan dan keselamatannya di akhirat kelak! Tuhan tiada pernah menyuruh kita mesti berharap kepada sedekah tahlil dan bacaan-bacaan Qul-Huwa’llah (قل هو الله) dari orang apabila mati kelak!”
Di hari ini,
sudah diahli sunnah wal jamaahkan, berbeza dengan pelbagai dalil yang Za’ba bawa di dalam bukunya.
Mungkin secara halus Za’ba mahu memberi isyarat, perangai bergantung kepada orang lain dan berhak dibantu oleh orang lain ini merbahaya di dunia dan juga di akhirat.
Oleh kerana saya tidak menghadiri kongres di Putrajaya, saya kira mengingatkan pesanan Za’ba ini ada manfaatnya juga.
