Jangan ingat membaca hantaran-hantaran di media sosial sahaja menjadikan kita stress. Membaca perkongsian bijak pandai pun sama.
Saya ada dalam satu kumpulan penghantaran mesej segera berkenaan mengimiginasikan semua ekonomi mengikut shariah. Tujuannya ialah mencari formula ekonomi yang lebih adil seperti yang dikehendaki oleh agama.
Belum apa-apa semuanya menghentam sistem perbankan. Zalim dan seumpamanya adalah istilah biasa. Fokus utama mereka ialah “penciptaan duit” (money creation) berdasarkan sistem perbankan pecahan (fractional banking system) seperti yang diamalkan sekarang. Ni semua dah biasa saya baca di dalam jurnal ilmiah dan di media sosial selama ini.
Satu perkara penting yang mungkin mereka perlu cabar di dalam mengkritik sistem perbankan shariah ialah kaedah syarak di dalam muamalah. Di dalam muamalah, semuanya harus sehingga ada yang mendatangkan haram.
Samada satu-satu kontrak boleh atau tak boleh tu dah masuk bab fiqh yang ditentukan oleh pakar-pakar. Khilaf di dalam fiqh adalah perkara biasa. Namun, selagi kaedah syarak itu tidak tergugat, susah nak haramkan perkara-perkara di dalam muamalah.
Di dalam masa yang sama, kita juga ada Adil dan Ehsan. Ini bab yang memacu kita untuk menjadi cemerlang di dalam menghambakan diri kepada Allah. Persoalannya ialah bagaimanakah nak masukkan konsep-konsep ini ke dalam perbankan shariah?

Di Bank Islam, kami sudah menubuhkan Sadaqa House sebagai satu dari unit perniagaan (business unit) kami. Tujuannya ialah menggerakkan modal yang tak mencari keuntungan melalui instrumen-instrumen shariah seperti derma dan waqf. Apabila modal ini terkumpul, bolehlah digunakan untuk membantu orang yang memerlukan seperti dengan memberikan pinjaman tanpa kos (qard al hassan).
Oleh kerana ini dikira kerja bank, kesemua kos operasi Sadaqa House ditanggung oleh bank. 100% dana yang dikumpulkan digunakan seperti yang dijanjikan. Malah, di dalam skim seperti qard al hassan, dana yang dikutip diputarkan menyebabkan jumlah yang digunakan melebihi 100%.
Sadaqa House ini masih kecil tetapi hasrat dan azam kami besar. Kami mahu menjadikan ini perkara utama di dalam perbankan patuh shariah.
Persoalan biasa yang ditanya ialah “mengapa tak guna keuntungan bank untuk tujuan ini?”
1. Apabila kos ditanggung oleh bank, ianya ditolak dari keuntungan. Maknanya dah digunakan.
2. Sebahagian dari keuntungan bank dibayar kepada pihak yang meletakkan deposit mereka di bank seperti yang sudah dikontrakkan.
3. Sebahagian besar keuntungan bank dipulangkan kepada pemegang saham. Di Malaysia, kebanyakan pemegang saham bank adalah institusi-institusi seperti Tabung Haji, KWSP, PNB, KWAP dan sebagainya. Mereka melabur bagi pihak pendeposit, pencarum, pelabur dan pesara. Semua ini kan ada objektif yang kena dengan Maqasid Shariah juga. Jangan lupa ya.
4. Bahagian keuntungan yang berbaki digunakan untuk menambah keupayaan bank untuk membuat pembiayaan. Tanpa pembiayaan dari bank, urusan ekonomi boleh terjejas teruk. Itulah sebabnya bank dikawal selia dengan ketat oleh agensi seperti BNM.
Berbalik kepada kumpulan yang saya sertai ini, mungkin disebabkan tujuan kumpulan ini ialah “mengimiginasi semula”, apa yang dikomen tak perlu membawa idea yang praktikal. Malah, setakat ini ideanya belum keluar, masih di bab hentaman agaknya.
Kita boleh mengimiginasikan pelbagai perkara. Yang paling susah dan mencabar ialah bagaimana nak melaksanakannya dengan berjaya di alam nyata. Jika tidak, orang-orang berilmu bertaraf profesor pun boleh jatuh ke tahap netizen yang tak dikenali asal usulnya.
