Antara Nak Cepat Dengan Nak Selamat

Bagi orang yang biasa berkebun, menanti hasil tanaman mereka adalah satu perkara yang biasa. Semuanya bergantung kepada apa yang ditanam. Sayur-sayuran akan memberikan hasil yang cepat, pokok buah-buahan akan memakan masa yang lebih lama.

Satu lagi perkara yang penting ialah hasilnya ditentukan berdasarkan benih apa yang ditanam. Jika nak makan durian, kena tanam pokok durian, bukannya pokok rambutan. Durian pula ada pelbagai jenis. Jika nak makan buah musang king, kenalah menggunakan benih yang betul.

Di dalam perniagaan, hasil yang kita nak capai bergantung kepada strategi dan perancangan yang kita bentuk dan laksanakan. Semua ini juga perlu dibentuk berdasarkan data, maklumat dan pilihan-pilihan yang bernas. Ini umpama memilih benih yang terbaik bagi mendapatkan hasil yang kita mahukan.

Sama juga dengan berkebun, kita kena bersabar sebelum strategi yang kita laksanakan itu menampakkan hasilnya .Jika kita tak sabar, nak cepat dan mula memilih jalan yang singkat, perkembangan perniagaan boleh terbantut.

Orang-orang yang dibesarkan di era media sosial sudah dilatih dari kecil lagi untuk mendapat reaksi segera dari usaha mereka seperti jumlah “likes” dan seumpamanya. Ini membentuk pemikiran yang mahukan kejayaan segera di dalam jangka masa yang pendek. Kadang-kadang perangai sebegini menyebabkan  pengusahanya memilih kaedah yang mudah dan cepat yang lebih berisiko dan mudah merosakkan perniagaan.

Memanglah kecepatan adalah satu kelebihan di dalam kebanyakan perkara. Namun, ada kalanya nak cepat boleh membawa kepada kemalangan. Ini adalah kerana di dalam kebanyakan perkara ada tempoh matang masing-masing. Samalah macam buah, jika ianya dipetik sebelum masak, rasanya masam dan isinya masih keras. Silap-silap, tak ada nilai ekonomi lansung.

Dari pengamatan saya, banyak masalah tidak boleh diselesaikan kerana pilihan yang lebih berstrategik yang melibatkan pembetulan asas atau punca masalah serta memerlukan usaha yang cekal kurang popular berbanding dengan langkah-langkah yang hanya menimpukan masalah di kulit sahaja. Lagi pun, solusi yang strategik susah nak ditayangkan di media sosial berbanding dengan aktiviti yang lebih bebentuk  pertunjukan. Ini adalah satu fenomena yang merugikan.

Orang tua-tua sudah lama berpesan, biar lambat asalkan selamat. Nasihat ini perlu difahami dengan cara yang lebih mendalam. Lambat bukannya disebabkan lemah tetapi membabitkan proses kajian dan pelaksanaan yang berhati-hati. Selamat pula bukannya bermakna nak “play safe” setiap masa tetapi termasuk mengambil risiko yang bersesuaian dengan selera risiko dan keupayaan perniagaan.

Berbalik kepada berkebun yang dijadikan contoh di atas, walaupun secara asasnya pokok ada tempoh pembesaran dan kematangan masing-masing, penggunaan teknologi dari peringkat penghasilan benih, menanam, pembajaan, pengelakkan penyakit dan penuaian hasil akan membolehkan peningkatan hasil dari jumlah tanah yang luasnya sama. 

Jika kaedah di atas diguna pakai di dalam perniagaan, inovasi dan penggunaan teknologi adalah perkara penting untuk menjana hasil yang lebih baik. Ini bermakna, pembentukan strategi dan pelaksanaan strategi perlu dibuat dengan menyeluruh dan dilaksanakan dengan penuh dedikasi. Jika memakan masa sedikit pun, ianya berbaloi jika dibandingkan dengan pertambahan hasil dan pengurangan risiko.

Biar lambat asalakan selamat seperti pesanan orang tua-tua kita perlu difahami dengan kaedah moden yang bersesuaian dengan perniagaan yang kita usahakan.

Tinggalkan komen