Wujudkah Sebenarnya “Wisdom of the Crowds”?

Di satu ketika dahulu saya membantu sahabat saya di dalam membentuk strategi teknologi maklumat bagi sebuah kementerian. Saya terlibat di dalam pembentukan strategi kementerian. Selepas strategi dikenal pasti barulah strategi teknologi maklumat dimuktamadkan.

Satu aspek yang dipersetujui untuk ditumpukan oleh kementerian berkenaan ialah membuat keputusan berdasarkan maklum balas dari pihak-pihak yang berkepentingan. Jadi saya cadangkan bab itu digelar “wisdom of the crowds”. Kita ambil kebijaksanaan masyarakat.

Ketua setiausaha kementerian berkenaan tidak bersetuju. Dia kata kalimah itu pernah digunakan oleh komunis. Memang benar kalimah komunis itu sendiri mungkin berasalkan dari kata dasar common yang boleh mewakili orang kebanyakan. Jadi, kami gunakan tajuk lain yang lebih dikira bersesuaian.

Dia juga mahukan dokumen strategi kementerian berkenaan tak ada foto menteri dan juga KSU. Memang ini satu kebijaksanaan (wisdom) yang mahal. Oleh kerana tak ada foto orang-orang ini, strategi yang dipersetujui itu diguna pakai walaupun menteri dan KSU bertukar-tukar.

KSU yang bijak tu tahu budaya di peringkat atas tu mahukan muka mereka ditampal di dalam dokumen-dokumen penting. Jadi, jika dokumen strategi ini ada muka orang yang terlibat, maka strategi baharu akan dicari bagi menampal muka orang-orang besar di selepas itu pula. Ni yang menyebabkan banyak perkara strategik di negara ini kelam kabut kerana belum sempurna strategi lama dilaksanakan, strategi baharu pula diperkenalkan dengan nama dan foto yang baharu.

Saya amat menghargai kebijaksanaan KSU itu terutamanya di ketika ini. Jika kita perhatikan pelbagai ungkapan dan kebisingan di media sosial seperti yang ada sekarang, puak manakah yang mendominasinya? Adakah penuh dengan kebijaksanaan atau penuh dengan sangkaan tanpa bukti dan anjuran-anjuran yang populis tetapi tidak ada asas lansung dari apa-apa kebijaksanaan.

Yang lebih malang sekiranya polisi negara yang dibentuk bukan di atas kajian rapi dan berdasarkan fakta tetapi lebih dipengaruhi oleh kebisingan di media sosial oleh orang-orang yang tidak tahu mengapa mereka bising dan apa yang mereka bisingkan. Namun, bagi orang-orang politik, melayan kebisingan ini boleh menambah undi mereka di dalam pilihanraya yang akan datang. Apa yang nak jadi kepada negara itu bukan prioriti mereka. Harapnya, ini tidak berkenaan dengan kita.

Kebiasaannya orang yang berilmu dan mempunyai kebijaksanaan kurang cergas di media sosial. Mereka ada saluran mereka sendiri samada di dewan kuliah, forum-forum dan juga diskusi-diskusi. Di sebaliknya, orang-orang yang tindak tanduk mereka didorong oleh emosi dan tidak memperdulikan betul dan benar lebih aktif dan kreatif di media sosial kerana itu amat sesuai dengan nafsu mereka. Jadi, pihak mana yang lebih mendominasi dan adakah itu menyerlahkan kebijaksanaan (wisdom) atau sebaliknya?

Satu perkara lagi ialah kadar ketularan maklumat. Adakah maklumat yang ada asas lebih tular berbanding dengan tomahan, kutukan dan juga seruan yang batil tetapi nampak cantik? Saya selalu sebut orang baik kena berusaha 20 kali lebih banyak berbanding dengan yang buruk kerana keburukan lebih cepat perkembangannya di media sosial.

Kebijaksanaan memerlukan orang yang mencarinya berfikir. Walaupun maklumat ada banyak di internet, kebijaksanaan amat berkurangan di media sosial. Ini adalah kerana algorithma yang memadankan konten dengan pengguna menggunakan populariti sebagai asas, bukannya yang mana yang betul dan yang mana yang benar. Ini amat jauh dari wisdom.

Oleh itu, cara manusia bergelagat di media sosial mengiyakan pandangan KSU kementerian yang saya pernah jumpa itu. Susah nak cari “wisdom” di celah-celah keriuhan media sosial seperti yang ada pada hari ini.

Tinggalkan komen