Di dalam pilihanraya Presiden Amerika tahun 2016, Hillary Clinto telah dicaci dengan pelbagai tuduhan oleh Donald Trump. Maka di dalam satu syarahan untjk menyokong Hillary, Michelle telah menyatakan “when they go low, we go high”.
Ini bermakna jika kita dikeji, kita tidak mengikut tindakan yang tidak beradab itu tetapi sebaliknya menyerlahkan tindakan-tindakan yang mulia dan beradab.
Sehingga kini ungkapan ini masih dikaitkan dengan Michelle dan disyarahkan sebagai satu model yang penting yang perlu diikuti kerana ianya merupakan satu petua yang penuh adab.
Bagi saya ini bukanlah satu prinsip yang baharu. Mari kita renung ayat 63 dari surah Al Furqan:
وَعِبَادُ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى ٱلْأَرْضِ هَوْنًۭا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلْجَـٰهِلُونَ قَالُوا۟ سَلَـٰمًۭا
Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati; dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.
Ibnu Kathir telah menjelaskan:
“Iaitu apabila orang-orang jahil menilai mereka sebagai orang-orang yang kurang akalnya yang diungkapkannya kepada mereka dengan kata-kata yang buruk, maka mereka tidak membalasnya dengan hal yang semisal, melainkan memaafkan, dan tidaklah mereka mengatakan perkataan kecuali yang baik-baik. Seperti yang dilakukan oleh Rasulullah Saw.; semakin orang jahil bersikap keras, maka semakin pemaaf dan penyantun pula sikap beliau.”
Saya nampak ada orang yang berpandangan memilih tindakan yang keras sebagai respon kepada tindakan pihak lain ke atasnya adalah satu perkara yang menyerlahkan kesayangan kepada agama. Ada yang membawa pelbagai alasan mengapa itu adalah pilihan yang betul.

Kadang-kadang mereka bertindak sebegitu pun tanpa membuat apa-apa pengesahan yang terperinci. Di era media sosial banyak perkara yang menjentik emosi boleh dipromosi oleh pelbagai pihak (termasuk orang yang nampak baik) tanpa mengesahkan kebenaran perkara demikian.
Ada juga keadaan yang mana tindakan yang keras ini hanyalah berdasarkan prasangka sedangkan di dalam ayat 12 surah Al Hujurat prasangka disebutkan sebagai dosa. Dosa ni perkara yang kecil ke?
Jadi, walaupun di Michelle Obama dikatakan telah memberikan petua berkenaan tindakan yang sewajarnya apabila kita dikutuk atau di maki, Al Quran telah mendahului beliau dan ada banyak episod-episod di dalam sejarah Nabi Muhammad SAW yang mana baginda telah mempamirkan akhlak yang mulia walaupun dicaci dan di hina termasuk ketika disakiti di Ta’if.
Malah baginda telah memaafkan keseluruhan warga Makkah yang telah menghalau, menyakiti, menghina dan berperang dengan baginda serta umat Islam apabila Makkah dibuka semula tanpa peperangan.
Di dalam bulan yang mana Al Quran ini diturunkan kepada kita, eloklah kita mencari inspirasi kehidupan berdasarkan wahyu dan bukannya mengikut kepentingan kelompok atau pun lain-lain kepentingan di dalam memilih tindakan yang dikatakan mewakili agama.
