Beraya Di Kelantan Kini Hanya Kenangan

Satu pagi semasa saya di tahun2 di universiti di Perth, saya terasa nak kahwin. Lalu saya bagi tahu teman-teman supaya dicarikan saya seorang isteri dari Kelantan. Mengapa? Supaya senang balik raya setiap tahun.

Alhamdulillah, isteri saya dari Kubur Kuda, Kota Bharu. Keluarga saya pula tinggal di Taman Guru, jadi perjalanan kereta hanya dalam 20 minit sahaja. Bila balik beraya, tak berapa berkira duduk di rumah mana sebab tak jauh sangat. Jadi, tercapailah hasrat mahu beraya bersama ibubapa saya setiap tahun.

Apabila saya dan keluarga berpindah ke Kuala Lumpur, kami balik beraya setiap tahun. Bermula dengan naik teksi dan bas. Kemudian balik dengan kereta Peugeot 504 yang beberapa kali mati di tengah jalan sehinggalah mampu memiliki kereta yang lebih selesa.

Ini berterusan selama 25 tahun sehinggalah bapa saya meninggal dunia pada tahun 2010. Ibu saya meninggal 3 tahun sebelum itu. Apabila ibubapa sudah tiada, sudah putus hubungan emosi dengan Kelantan. Hanya ada seorang adik di sana yang datang beraya bersama kami di sini setiap 2 tahun.

Berulang alik ke Kelantan di musim raya ini pun banyak kenangannya. Di ketika itu jalan Kota Bharu-Kuala Lumpur melalui Gua Musang kecil dan ada banyak lengkok. Apabila berjaya memotong lori balak, anak pula muntah atau nak ke tandas. Jadi, saya biasanya balik jam 3 pagi di ketika mereka tidu dan untuk mengelakkan kesesakan jalanraya. Namun, di tahun-tahun akhir balik raya, jam 3 pagi pun dah sesak juga.

Apabila cucu-cucu mereka balik beraya, saya dapat perhatikan kegembiraan atok dan nenek mereka. Maklumlah jarang-jarang bertemu. Maka disediakan pelbagai juadah untuk berbuka puasa. Ayah saya memang serasi dengan budak-budak. Sentiasa bermain dan bergurau dengan mereka.

Saya akan membantu ibu itu membeli di sana-sini. Dari persediaan berbuka puasa sehinggalah membeli kuih muih untuk hari raya. Sama seperti nenek saya, ibu saya tahu nak beli apa, di mana.

Sesi bersalam-salaman di pagi hari raya merupakan kenangan yang tak akan saya lupakan. Tak terbayar harga kegembiraan ibupapa apabila anak-anak dan cucu-cucu ada bersama. Inilah perkara yang amat penting bagi saya di hari raya, buang yang keruh, ambil yang jernih.

Kini saya pula yang mengambil tempat ibubapa saya. Anak-anak dan cucu-cucu pula yang datang mencari kita. Cuma apa yang agak berbeza ialah ada anak-anak yang beraya di negeri suami atau isteri mereka. Tak apalah. Itulah lumrah kehidupan. Namun, apa yang lebih penting, semangat bermaaf-maafan dan memperkukuhkan hubungan silaturrahim itu menjadi amalan yang tak lekang dek panas dan tak lentur dek hujan.

Akan tiba masanya anak-anak saya akan mengambil peranan saya pula. Sehingga itu, jadikan Aidil Fitri sebagai hari kemenangan yang sebenarnya. Biarlah setiap ahli keluarga bermaaf-maafan antara satu sama lain di samping menjamu selera. Kita kena buktikan objektif puasa, mencapai taqwa itu benar-benar terhasil.

Tinggalkan komen