Perniagaan Kena Ada Strategi Media

Di zaman ini, boleh dikatakan tidak ada perniagaan yang tak ada pendedahan kepada media. Sekurang-kurangnya usahawan akan bercerita berkenaan perniagaannya di akaun sosial medianya. 

Malah, banyak perniagaan yang menggunakan media sosial untuk menjual, berinteraksi dengan pelanggan dan membentuk jenama. Jika kena strateginya, bukan sahaja perniagaan boleh diperbesarkan tetapi kos pemasaran pun tidak menjadi penghalang yang besar.

Sebaliknya, jika ada pelanggan yang tidak puas hati atau pun ada kesilapan yang tidak disengajakan, ianya boleh tular dengan cepat dan menimbulkan pelbagai masalah kepada perniagaan. Jadi, penggunaan media yang meluas bukan sahaja membuka peluang tetapi membawa risiko jika tidak dijaga secara berstrategik.

Satu isu boleh membara di media sosial di dalam masa beberapa jam sahaja berbanding dengan tempoh yang lebih lama di ketika penggunaan media sosial tidaklah meluas seperti sekarang. Ini bermakna kebersediaan untuk menangani isu mesti ada di dalam setiap perniagaan yang ada pendedahan besar kepada media.

Media traditional pun sudah menggunakan media sosial sebagai salah satu saluran mereka. Ini bermakna bila kita menyebut berkenaan media, kita tidak boleh menghadkannya kepada satu jenis media sahaja. Sudah kabur perbezaannyandi antara satu jenis media ke satu media yang lain. Malah, sudah wujud individu-individu yang mempunyai pengaruh besar di media sosial yang kadangkala lebih berpengaruh dari media tradisional.

Platfom-platfom media sosial yang pelbagai sekarang ini pun sebenarnya adalah syarikat media yang membuat keuntungan dari perkongsian pelbagai manusia dan organisasi yang menggunakannya. Mereka bersaing dengan media tradisional di dalam mendapatkan upah pemasaran dan iklan. Inilah sebabnya ada beberapa negara yang mahu syarikat media sosial berkongsi kutipan dengan media tradisional.

Oleh yang demikian, setiap perniagaan kena ada strategi media masing-masing yang boleh membantu membuka pasaran dan membentuk jenama dengan lebih tersusun serta menangani risiko yang muncul dengan lebih berkesan. Semakin besar pasaran dan bilangan pengguna, semakin perlu diadakan pelan strategik media ini.

Di antara perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan ialah:

  1. Bagaimana media akan digunakan untuk memperluaskan pasaran?
  2. Bagaimana media boleh dijadikan saluran untuk membentuk jenama dan kesetiaan pelanggan?
  3. Mengenal pasti risiko-risiko yang boleh wujud melalui media dan apakah langkah-langkah yang akan diambil jika berlakunya krisis di media?
  4. Siapakah yang akan menjadi muka kepada perniagaan apabila menghadapi media? Pengasas? Ketua Pegawai Eksekutif? Orang di jabatan komunikasi?
  5. Adakah perniagaan mempunyai kemampuan untuk berurusan dengan media seperti menguruskan temu ramah media dan memasukkan konten-komten strtegik di dalam laporan-laporan media pilihan?
  6. Peruntukan yang diagihkan untuk aktiviti media dan bagaiman nak mengira pulangan ke atas pelaburan ini.

Setiap perniagaan ada objektif-objektif masing-masing di dalam berinteraksi dengan media. Maka, di samping cadangan di atas, pelan strategik media yang mahu dibentuk bolehlah mengambil kira perkara-perkara spesifik berkenaan.

Dari membiarkan interaksi dengan media terjadi secara tersendiri, lebih baik perniagaan membentuk strategi media yang lebih jelas untuk meningkatkan manfaat dari penggunaan media. Jika tidak, perniagaan bukan sahaja terlepas peluang tetapi boleh menghadapi risiko yang boleh memunahkan keyakinan dan kepercayaan pelanggan ke atas perniagan.

Saya juga mencadangkan usahawan menghadiri latihan media yang dianjurkan oleh pihak yang berpengalaman. Jika perniagaan dan produk kita meletup, pihak media akan mula mencari kita. Persediaan awal tentunya akan membantu.

Tinggalkan komen