Populariti Boleh Mengasyikkan

Ingatkah anda kepada kumpulan nasyid Raihan? Ianya amat popular di satu masa dahulu sehigga pernah beraksi di Royal Albert Hall, London. Selain dari mereka, hanya Sudirman dan Siti Nurhaliza yang dah sampai ke situ.

Di ketika kumpulan itu ditanya adakah ada percanggahan di antara usaha mencari populariti yang diperlukan di bidang seni dengan usaha Raihan untuk berdakwah, wakil mereka menjawab “kita perlu jadi popular untuk menyampaikan mesej yang kita nak dakwahkan”.

Maka, di era media sosial ini, menjadi popular merupakan satu aspek penting sebelum perkara-perkara yang baik hendak dicapai. Walaupun bagi Raihan ini merupakan aspek penting dakwah mereka, saya nampak ada titik pusingan (turning point) yang mana mesej mula diubah untuk mengekalkan populariti.

Saya pernah tanya kawan saya yang merupakan seorang ahli politik mengapa orang-orang politik susah nak bersara. Dia jawab “kau ingat senang ke nak tinggalkan alam yang mana apabila kereta sampai orang bukakan pintu dan dikerumuni di sana sini”.

Jawapan kawan saya itu memberi saya faham bahawa lama-lama, populariti boleh menjadi objektif dan mesej atau pun tujuan asal dah jatuh nombor dua atau tiga. Mengapa ketiga? Bila populariti pula membawa masuk duit berketul-ketul.

Di masa saya kecil, imej seorang agamawan ialah seorang yang bersyarah di masjid dan ke sana dengan motosikal. Ianya amat berbeza di zaman ini yang mana “kuda merah” seperti Vellfire dan Alphard merupakan kenderaan biasa bagi agamawan popular. Populariti tu pula bukan sekadar dari syarahan dan ucapan, masuk politik pun boleh jadi popular.

Adakah ini kerana kesedaran Islam di kalangan masyarakat atau media sosial memudahkan imej dan populariti dibentuk dengan khalayak pula suka jika boleh mendakwa dia masuk kumpulan itu dan ini atau pun anak murid orang itu dan ini?

Baru-baru ini ada seorang warga emas yang memaklumkan kepada saya nak berpindah ke rumah orang tua kendalian “orang itu”. Saya tanya dia “sekarang ada 3 orang yang jaga puan seorang, di sana ada berapa orang yang akan bantu semasa nak berak dan kencing?”. Warga emas ini terpengaruh dengan video-video promosi dan juga ketokohan orang itu.

Bagi orang-orang yang popular, cubaan ke atas mereka ialah setakat mana mereka mampu mengekalkan keikhlasan di dalam usaha mereka yang asal. Sebagai contoh, adakah kita berucap dengan membawa perkara-perkara yang benar atau mengucapkan apa yang orang nak dengar walaupun bercanggah dengan apa yang benar untuk mengekalkan populariti? Ini hanya mereka sahaja yang boleh jawab di kala mereka merenung mata mereka di dalam cermin setiap pagi ketika menggosok gigi.

Kembali kepada Raihan, mungkin ada di antara mereka sedar bahawa populariti itu ada hadnya dan meninggalkan alam berkenaan dan meneruskan tujuan asal mereka menjadi popular, berdakwah.

Tinggalkan komen