“Siapakah anak-anak yang dididik di Buku Jalanan Chow Kit?” tanya saya kepada Cikgu Ayu, salah seorang pengasas pusat ini. Jawabnya, Buku Jalanan Chow Kit (BJCK) membantu anak-anak bukan warganegara atau anak yang tidak mempunyai dokumen diri yang tidak layak untuk memasuki sekolah kerajaan untuk mendapatkan pendidikan asas. Di samping itu, BJCK adalah ruang selamat bagi anak-anak tersebut untuk mengharungi kehidupan berbanding dengan persekitaran di Jalan Chow Kit dan kawasan persekitarannya, di mana mereka tinggal.
Menurut Cikgu Ayu, BJCK asalnya merupakan satu projek untuk memberi pendidikan kepada anak-anak di persekitaran ini sambil mereka diberi makan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang lain pada malam hari. “Kami bermula di tepi jalan saja” kata Cikgu Ayu. Lama kelamaan timbul idea untuk mengadakan ruang kekal dan selamat di mana anak-anak ini boleh datang untuk belajar secara lebih tersusun. Ada penderma yang membayar sewa lokasi di mana BJCK beroperasi sekarang. Belanja lain seperti gaji guru, elektrik dan makanan anak-anak didapati melalui sumbangan peribadi raykat Malaysia yang bersempati.
Di masa ini, BJCK mendidik lebih kurang 40 orang anak-anak yang tinggal di persekitaran Jalan Chow Kit. Ibubapa mereka sebahagian besarnya adalah warga asing yang mencari rezeki di Kuala Lumpur. Mereka tinggal di bilik-bilik kecil yang disewakan secara harian. Jika gagal membayar sewa selama beberapa hari berturut-turut, mereka mungkin diusir oleh tuan kediaman tersebut.
Anak-anak warga asing tidak dibenarkan untuk menghadiri sekolah kerajaan. Begitu juga warga Malaysia yang tidak ada surat lahir. Bila saya tanya apa akan jadi kepada anak-anak ini bila mereka menjadi dewasa, Cikgu Ayu beritahu bahawa mereka akan terus menetap di sini sebagai sebahagian dari ahli masyarakat. Sebab itu BJCK cuba memberi mereka pendidikan asas, kemahiran dan pelajaran adab supaya mereka boleh hidup sebagai manusia yang baik.
BJCK juga dijadikan ruang kepada NGO lain untuk menyumbang kepada masyarakat setempat. Ada yang mengajar ibubapa kemahiran tangan supaya mereka boleh mendapatkan pendapatan tambahan dan ada yang mengajar Bahasa Inggeris supaya mereka boleh mendapatkan peluang pekerjaan. “Tempat ini dibayar melalui sumbangan orang ramai, jadi selayaknya ianya digunakan oleh orang lain yang mahu membantu dan membuat kebaikan” terang Cikgu Ayu.
Kunci kejayaan projek-projek seperti BJCK ialah guru-guru yang berdedikasi dan sayang kepada anak-anak yang mereka didik. Itu yang agak mencabar untuk dicari, merurut Cikgu Ayu. Wang, walaupun penting juga, boleh dicari. Mereka juga kekurangan sukarelawan lelaki. “Anak-anak di sini juga perlu kepada orang-orang yang mereka boleh anggap sebagai bapa untuk dijadikan “role model” terang Cikgu Ayu lagi.
BJCK beroperasi dari jam 11.00 pagi sehingga petang. Biasanya anak-anak yang datang ke sini cuba tinggal selama yang mungkin. Ruangnya selesa berbanding dengan suasana rumah-rumah mereka. Sebab itulah, menurut Cikgu Ayu, beliau sengaja membeli alatan yang agak baik supaya memberi keselesaan kepada anak-anak didiknya.
Kepada anda yang mahu mengetahui aktiviti-aktiviti Buku Jalanan Chow Kit, bolehlah melawat laman Facebook mereka di sini. Mereka mengalu-alukan sumbangan anda. Anda boleh menyumbang apa yang mereka iklankan dari masa ke semasa atau memberi sumbangan wang secara bulanan kepada akaun mereka secara terus.
Akaun Buku Jalanan Chow Kit ialah CIMB 8602582269.
Buku Jalanan Chow Kit adalah sebuah persatuan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.