
Tadi saya hadiri majlis perkahwinan anak saudara Badar yang saya kenali semasa belajar di perth, Australia. Menarik kerana upacaranya “fussion”, gabungan budaya Melayu dan India. Isteri saudara Badar berbangsa India dan menantunya pula dari keluarga campur juga.
Saya mengambil kesempatan untuk bertemu rakan-rakan yang saya kenali semasa berada di Perth yang turut hadir. Di antaranya ialah Anuar Ahmad yang mana kami pernah tinggal serumah dan berkongsi falsafah politik. Tentunya kami bercerita berkenaan politik semasa terutamanya perubahan prinsip manusia-manusia tertentu.
Yang paling bertuah bagi saya ialah pertemuan dengan En Hussin Hamid, bekas Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Perth semasa saya belajar di sana. Dia seorang pentadbir yang jujur dan sentiasa menjaga kebajikan kami.
Sebenarnya saya sepatutnya belajar di Kelvin Groove Evening Class di Brisbane. Di atas usaha En Hussin saya mendapat tempat di Canning College, Perth. Oleh kerana tiket dari Kuala Lumpur ke Sydney sudah dibeli oleh MARA, En Hussin telah terbang ke Sydney untuk menemani saya kembali ke Perth.
Beliau pernah menjadi Ketua Pengarah Jabatan Imigresen. Satu hari ketika saya mahu memperbaharui paspot saya, saya terserempak dengan beliau di dalam lif. Dia menjemput saya ke biliknya dan diberi layanan VVIP.
Saya berdoa agar Allah memberi kesenangan kepada En Hussin di atas jasa dan khidmat beliau kepada negara. Sebab itu kita kena sentiasa mengenang jasa pejawat awam yang jujur dan ikhlas melaksanakan tugas mereka tanpa takut atau melebihi mana-mana pihak.