Bakat (talent) adalah satu perkara yang mesti diuruskan dengan teliti agar perniagaan anda dijalankan oleh orang-orang yang berkemampuan dan sentiasa terdorong untuk melakukan sesuatu dengan yang terbaik.
Walau bagaimanapun, pesaingan untuk mendapat bakat yang baik adalah sengit. Ini membuatkan syarikat-syarikat kecil agak terkebelakang jika dibandingkan dengan syarikat atau organisasi besar yang mempunyai sumber yang lebih besar.
Oleh yang demikian, memperkukuhkan bakat dalaman yang sedia ada adalah satu jalan keluar yang realistik. Bagaimana ini boleh dilakukan?
Jika kita mahu seseorang perkerja sentiasa mengembangkan potensi beliau, sekurang-kurangnya ada empat perkara yang perlu diberi tumpuan:
Kebolehan (skills) perkerja di dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan. Jika beliau adalah seorang jurujual, beliau ada kebolehan dan kelayakan untuk menjadi jurujual. Seorang yang pendiam dan tidak suka berinteraksi dengan orang lain bukanlah satu pilihan yang baik untuk menjadi jurujual.
Keupayaan mengurus tanggungjawab yang diberikan (managing ability) adalah satu perkara lagi. Ini bermakna seseorang perkerja mempunyai keupayaan untuk merancang, melaksanakan dan menyemak kerjanya selaras dengan strategi dan pelan tindakan yang telah dipersetujui. Ini merangkumi menyelia orang lain yang berada di dalam pengurusannya. Ini memerlukan pekerja berkenaan mempunyai kebolehan mengurus diri dan orang lain, membuat keputusan serta berkerja secara bersistem.
Kepimpinan (leadership) adalah satu bakat yang mustahak, khususnya kepada mereka yang berjawatan kanan di dalam organisasi anda. Bukan sahaja mereka boleh mengurus, mereka juga seharusnya boleh memimpin ahli pasukan ke arah pencapaian misi dan visi organisasi. Mereka juga harus berupaya untuk berkerjasama dengan pegawai kanan yang lain, khususnya CEO.
Semakin kanan kedudukan seseorang perkerja, keupayaannya untuk berinteraksi dan mengurus pihak yang berkepentingan (stakeholder management) akan menjadi semakin penting. Ini termasuk pihak berkepentingan luar seperti pelanggan, pembekal, agensi kawalselia dan pelbagai pihak yang boleh mempengaruhi perjalanan dan pencapaian perniagaan anda.
Jadi, macamana anda boleh membantu pekerja anda untuk meningkatkan bakat mereka?
Latihan adalah satu perkara asas. Mereka seharusnya didedahkan dengan latihan di luar organisasi anda sepaya pemikiran mereka lebih terbuka. Ada organisasi yang meletakkan pegawai mereka di organisasi lain selama beberapa tahun agar mereka boleh belajar perkara-perkara baru.
Mentoring dan coaching adalah di antara kaedah-kaedah lain yang boleh digunakan. Ini adalah dengan andaian bahawa ada pegawai atau pekerja lain yang mampu untuk menjadi mentor atau coach. Tidak semua perniagaan atau organisasi yang mempunyai orang yang layak. Jangan perasan pula.
Pengukuhan bakat dalaman adalah satu proses yang perlu diurus. Kena ada sasaran, program dan penyeliaan aktiviti-aktiviti yang berkenaan. Kena ada orang yang diberikan tanggungjawab mengukuhkan bakat dan sentiasa melaporkan perkembangan kepada CEO atau di dalam mesyuarat pengurusan.
Jika kita hanya berdoa supaya pekerja kita semakin berbakat, itu tandanya kita belum berusha dengan sebaiknya.