Bila ada program dengan pelajar universiti, perkara yang biasa dibincangkan ialah bagaimana mereka boleh mendapatkan kerja yang selesa. Majikan mana yang tawarkan kerja yang bagus, bagaimana mahu menghadapi temuduga, apa persediaan yang perlu dan pelbagai perkara taktikal lagi.
Saya lebih gemar untuk menerangkan bertapa perlunya mereka merancang untuk membina kerjaya. Kedudukan apa yang mereka mahu capai di masa depan, kebaikan kepada diri mereka dan orang lain yang mereka boleh lakukan, cabaran yang mereka harus lalui untuk mencapai kedudukan tersebut dan langkah-langkah pertama dan seterusnya yang mereka kena ambil.
Membina kerjaya ialah untuk mencapai kedudukan yang ada MAKNA, bukan hanya kuasa dan gaji saja. Ini macam visi bagi perniagaan lah. Bila itu sudah jelas barulah dicari langkah-langkah yang perlu. Ni pun macam misi dan strategi bagi orang yang berniaga.
Bila anak-anak muda kita tahu kebaikan yang mahu mereka taburkan, baru mereka jelas kedudukan mana yang sesuai dan bersedia untuk mengharungi cabaran untuk mendapat kedudukan yang mana mereka boleh berbuat banyak kebaikan. Mesti “mission-driven”.
Saya juga akan mengingatkan mereka akan perlunya membina dan menyerlahkan nilai yang baik (values) seperti kejujuran dan integriti agar mereka tidak menyimpang dari jalan yang benar.
Saya telah dijemput untuk berkongsi pandangan dan pengalaman di International Accounting Youth Camp 2018 yang dianjurkan oleh Northern University Accounting Club (NOVAC) Universiti Utara Malaysia hari Sabtu lalu. Di antara yang turut hadir ialah Dato Merina Abu Tahir, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia, dan Dr Nurmazilah Mahzan, ketua pegawai eksekutif Institut Akauntan Malaysia.
Di dalam profesion perakaunan misalnya, seorang akauntan boleh membina kerjaya di dalam pelbagai sektor samada amalan awam, sektor korporat, sektor awam atau akademik. Yang utamanya ialah membina tiga elemen profesional: ilmu yang relevan (knowledge), berupaya menggunakan ilmu di dalam amalan harian (skills) dan bertindak berdasarkan nilai profesional (values) seperti integriti, berwaspada dan menjaga rahsia.
Ketiga-tiga elemen berkenaan dibina semasa berkerja. Ilmu kena sentiasa ditambah dan diamalkan bersesuaian dengan kehendak kerja. Jika ada arahan-arahan yang bercanggah dengan nilai profesional, kena dipersoalkan dan jika tekanan terlampau tinggi, meninggalkan pekerjaan adalah satu langkah yang sebaiknya.
Sebab itulah penting bagi seorang profesioanal, tak kira bidang apapun, untuk mempunyai kemahiran dn nilai yang diperlukan dan dihormati di dalam pasaran. Ini memudahkan mereka untuk mengingkari arahan yang bukan saja tidak beretika malahan bercanggah dengan undang-undang. Orang yang berkemahiran dan beretika akan senang mendapat kerja di tempat lain kerana inilah jenis manusia yang amat kurang di pasaran masa kini.
Anak-anak muda faham akan makna pekerjaan akan menjadi lebih fokus dan tidak mudah tewas dengan cabaran kecil seperti bekerja lebih masa, melakukan sesuatu yang baru dan sukar serta membanding-banding kesenangan dengan kawan-kawan yang memilih jalan yang lebih “mudah”.
Bila ada orang yang menyatakan kerja mereka susah dan memerlukan pergorbanan yang lebih besar, saya tanya “boleh bagi tahu saya perkerjaan yang senang?”. Bukan senang nak jawab pertanyaan ini.