Selepas pelancaran dana BIMB ESG Sukuk semalam saya berbual-bual dengan Gabriel Karagergiou, rakankongsi Arabesque, rakan perniagaan BIMB Investment. Beliau berasal dari Greece. Dia ada darah Turki. Dia miliki PhD dalam bidang fizik.
Arabesque merupakan bekas satu cabang dari Bank Barclays sehinggalah ianya dibeli oleh rakankongsi sekarang. Mereka menumpukan perhatian kepada pelaburan dengan menggunakan Environment, Social and Governance (ESG) sebagai asas. Dipendekkan cerita, Arabesque kita menggunakan “artificial intelligence” dan “machine learning” untuk mengambil maklumat dari 50,000 sumber di dalam 15 bahasa di dalam memilih saham untuk dilabur. Pemilihan saham juga dibuat oleh mesin.
Apa yang kami bincangkan ialah keperluan untuk memahami bagaimana syarikat ditadbir, diurus dan pencapaiannya melalui data dari luar syarikat. Kaedah Arabesque membolehkan mereka menjual saham Facebook, Exxonmobil dan Toshiba sebelum berita mengenai salahlaku syarikat-syarikat berkenaan dilaporkan media. Penilaian berdasarkan United Nations Global Compact (UNGC) membolehkan perlakuan syarikat dinilai secara lebih tersusun.
Prinsip-prinsip UNGC adalah:
- Perniagaan perlu menyokong dan menghormati perlindungan hak-hak asasi manusia yang diterimapakai di peringkat antarabangsa
- Perniagaan tidak boleh terbabit dengan salahlaku hak asasi manusia
- Perniagaan perlu mempertahankan hak untuk berpersatuan dan memperakukan hak tawar menawar kolektif
- Penghapusan segala bentuk pekerjaan paksa atau wajib
- Penghapusan buruh kanak-kanak
- Penghapusan diskriminasi di dalam pekerjaan
- Perniagaan seharusnya menyokong pendekatan yang berhati-hati di dalam cabaran alam sekitar
- Menggalakkan pembangunan dan penyebaran teknologi mesra alam
- Perniagaan seharusnya berusaha membenteras rasuah, termasuk pemerasan dan penyogokkan
Penilaian seperti di atas lebih komprehensif dari penilaian dan penarafan yang agak simplistik. Contohnya, saham sebuah syarikat ditarafkan sebagai patuh shariah jika pendapatan dari sumber tidak halal dan pembiayaan yang ada unsur riba tidak melebihi kadar yang ditetapkan.
Gabriel memberi contoh sebuah kilang di Bangladesh yang runtuh dan membunuh ramai pekerjanya. Jika dinilai dengan kaedah yang simplistik, ianya patuh shariah kerana menjalankan perniagaan membuat pakaian. Namun, jika UNGC diambilkira, penindasan pekerja dan lain-lain amalan yang dikira tidak membawa kebaikan kepada dunia akan menyebabkan saham syarikat berkenaan dipinggirkan.
Apa yang saya bincangkan bukan bermakna UNGC lebih ulung dari Shariah. Apa yang berlaku ialah patuh Shariah dinilai dengan cara yang simplistik. Ini juga bukan disengajakan. Mungkin kerana keterbatasan data-data yang ada. Tak semua orang ada alatan seperti Arabesque.
Bila saya menyebut memberi penarafan berbintang-bintang melalui dapatan audit sebagai satu perkara yang tidak bijak, inilah asas pandangan saya. Kebaikan boleh dinilai dengan pelbagai cara, yang simplistik dan yang lebih mendalam. Mungkin dengan masa dan teknologi, semua ini akan berubah ke arah yang lebih hampir kepada kenyataan.