Saya telah banyak terlibat di dalam membuat keputusan samada pembentukan undang-undang, peraturan, piawaian dan pelbagai perkara polisi dan operasi. Ini satu perkara yang serius dan memerlukan pandangan dan penglibatan pelbagai pihak yang ada kepentingan.
Biasanya pada peringkat awal perbincangan adalah lebih terbuka dan kesemua yang terlibat boleh memberi komen, pemerhatian dan cadangan. Akhirnya, beberapa kaedah penyelesaian dikenalpasti sebelum yang dikira diterima sebagai penyelesaian.
Adalah menjadi satu amalan yang baik jika cadangan polisi, peraturan atau pun undang-undang diedarkan kepada pihak yang berkenaan untuk mendapatkan komen mereka. Ini adala kerana mungkin ada perkara penting yang terlepas pandang atau cara polisi, peraturan dan undang-undang ditulis boleh membawa maksud yang berbeza dengan niat asal. Ada juga yang dipanggil kesan yang tidak dijangka (unintended consequences) yang mungkin hanya dapat disedari oleh mereka yang tidak terlibat dengan proses penggubalan.
Setelah kesemua pandangan diambilkira, barulah deraf akhir disediakan. Kadang-kadang ada pihak yang mencelah di saat akhir dengan membangkitkan isu-isu yang sepatutnya dibangkitkan di peringkat awal. Ini amat menyakitkan hati dan akan menyebabkan perbincangan tersasar dan melambatkan keputusan.
Saya suka kaedah pengerusi satu jawatankuasa yang mana saya menjadi ahlinya. Bila perbincangan sudah mencapai peringkat akhir dan sudah ada cadangan yang hampir diterima, dia tidak benarkan orang menimbulkan isu atau bantahan melainkan ada cadangan lain yang lebih baik dari apa yang ada di atas meja.
Pendekatan ini menyebabkan pihak yang mahu mencelah di peringkat akhir perlu membuatnya dengan tanggungjawab dan tak boleh kacau daun saja.