Setiap ulang tahun biasanya dikira sebagai hari gembira. Ulang tahun kelahiran, perkahwinan dan persahabatan. Malah, ulang tahun kematian juga dirayakan oleh segolongan ahli masyarakat.
Mengapa bergembira? Setahun dalam kalendar masihi hanyalah genapnya kitaran bumi mengelilingi matahari. Mungkin, kegembiraan di atas adalah kerana yang merayakan itu masih hidup (walaupun semakin hampir dengan kematian), perkahwinan semakin kukuh atau persahabatan semakin erat.
Lengkapnya bumi mengelilingi matahari adalah proses alam, ianya akan berterusan walaupun kualiti kehidupan, perkahwinan dan persahabatan boleh naik dan turun. Oleh itu, makna apa yang dirayakan itu lebih penting dari genapnya proses alam yang sudah ditentukan Tuhan ini.
Untuk menentukan makna perlu kepada kira-kira atau hisab. Ianya satu proses logikal dan perlu kepada nisbah atau bandingan. Jika kehidupan, apakah sebabnya ianya dikatakan lebih baik? Bagaimana perkahwinan dinilai? Begitu juga persahabatan, apa yang menjadikannya lebih baik atau sebaliknya?
Di dalam konteks bernegara pula tentunya lebih kompleks hisabnya. Nak nilai macamana? Kalau kehidupan rakyatnya, rakyat yang mana? Yang tinggal di Bangsar atau Sri Hartamas atau yang tinggal di flat-flat PPRT? Kalau dari segi agama pula, adakah cukup dengan peningkatan Indeks Shariah JAKIM atau kerugian berbilion-bilion yang dialami oleh institusi-institusi yang ditadbir oleh orang Islam di negara ini? Kalau budaya pula bagaimana? Adakah nilai orang yang mahu menggunakan akal semata-mata sama dengan orang yang setia kepada agama. Agama pula versi mana?
Mungkin sebab itulah rata-rata negara bercuti bila menyambut kemerdekaan. Rakyat perlu diberikan masa untuk menghisab kedudukan sebenar negara mereka. Kalau apa yang diutarakan di atas itu sahih, memang susah untuk dihisab.
Bagi yang mahu mengambil jalan mudah, disediakan pesta bunga api di awal pagi merdeka. Bila rakyat bergembira sehingga hampir subuh, mereka terus tidur dan terlupa untuk menghisab. Yang masih belum lena dipersembahkan dengan acara perbarisan, mempamirkan aset-aset yang dibeli dengan dana rakyat. Macam melihat istanalah, cantik, mempersonakan, tapi bukan kita yang tinggal di dalamnya.
Yang lebih senang ialah kita menghisab sumbangan kita bagi mengisi makna kemerdekaan. Apa yang telah kita buat? Adakah ianya menambahkan kebaikan kepada keluarga, masyarakat dan negara? Malanglah jika kita di antara puak-puak yang menjadi lebih kaya harta di atas keruntuhan tadbirurus negara dan ketirisan institusi awam. Ataupun kita hanya meminta dan mendesak, tanpa berbuat apa-apa?
Selamat menghisab diri di samping merayakan kemerdekaan, jika kita layak merayakannya.
MERDEKA!