Ini adalah foto guru-guru MRSM Kota Bharu semasa tahun penubuhannya di dalam tahun 1973. Saya ambil dari dinding Mr Dai Kooi Aw, guru saya yang saya hormati.
Cuba renung bangsa dan warna kulit mereka. Pelbagai. Malah ada yang datang dari luar negara.
Siapa yang mereka didik? Anan-anak Bumiputera khususnya dari anak-anak orang yang tinggal di luar bandar, yang orang Melayu istilahkan “anak bangsa kita”.
Hasilnya? Ternyata hebat. Ramai di antara pelajar-pelajar perintis yang dididik dan di asuh oleh guru-guru ini bukan saja berjaya secara peribadi malah menyumbang kembali kepada pembinaan negara dan bangsa. Saya kenal ramai di antara mereka. Malah, jika anda sakit jantung dan dibedah di IJN, kemungkinan besar anda dibedah oleh CEOnya yang merupakan pelajar perintis MRSM Kota Bharu.
Hasil dari usaha guru-guru ini sistem MRSM berkembang. Akhirnya ia menjadi sistem satu bangsa saja, termasuk guru-gurunya sekali. Kalau tak dikongsikan foto ini, mungkin orang yang tak tahu asal usul akan bersangka, MRSM semata-mata “sistem kita”.
Jika tidak kerana KSU Unit Perancangan Ekonomi ketika itu yang berbangsa Cina, MRSM tak akan wujud pun. Kertas Projek Batek (ikut ejaan masa itu) sudah ditolak di peringkat pengurusan. Bila Wahab Alwi merayu kepada KSU berkenaan, beliau membawanya dan mencadangkannya kepada Perdana Menteri. Lahirlah MRSM.
Bila P. Ramlee menyeru mambang dengan menyatakan dia tahu asal usul mambang, ada kebenarannya mengenai kelebihan mengetahui asal-usul sesuatu. Bila nak berurusan di dalam urusan harian atau perniagaan, mengetahui asal usul orang di sebalik meja itu akan memudahkan kita.
Oleh itu, di dalam suasana menyambut kemerdekaan, marilah kita memerdekaan diri dari pemikiran sempit bahawa duni ini kita punya. Allah jadikan kepelbagaian kaum dan warna kulit untuk kita mengenali dan menghormati satu sama lain. Tak perlu berlumba-lumba membentuk sejarah bahawa bumi ini milik kita, salah! Ia milik Allah.