Semalam Dr. Nizam Ali, Pengarah Kanan Institut Integriti Malaysia, dijemput ke Masjid Al Iman Kemensah untuk membincangkan berkenaan integriti. Ini adalah satu topik yang berbeza dari topik-topik yang biasa dibincangkan di masjid-masjid negara ini.
Beliau dijemput melalui saudara Arehaan, yang merupakan kawan Nizam di Maktab Rendah Sains MARA Kuantan dahulu, walaupun berlainan tahun pengajian. Kira program anak-anak Sains MARA lah ni.
Nizam membincangkan integriti berdasarkan apa yang diajar oleh gurunya, Profesor Syed Muhammad Naquid Al-Attas “be honest to yourself”. Bunyinya mudah tetapi Nizam membawa perspektif aqidah dan tradisi Islam di dalam menghuraikan konspep integriti ini. “Be” menurut huraian Nizam ialah kesempurnaan kita sebagai manusia yang dicipta untuk menjadi hamba kepada Allah. “Honest” pula dikaitkan dengan “saddiq” benar dari segi akal, nafsu, jiwa dan diri, kena berakhlak dengan akhlak yang sesuai sebagai hamba.
Panjanglah cerita Nizam dengan menggunakan bahasa Melayu tinggi, berselang seli dengan bahasa Inggeris. “Saya kena sampaikan menurut bahasa ilmu yang saya terima” terang Nizam berkenaan mengapa dia bertukar-tukar bahasa. Saya tanya Areehan yang duduk di sebelah saya, “kamu boleh catat ke apa yang Nizam kata?” sambil bergurau.
Di akhir perbincangan, Nizam membaca syair Nasihat Kepada Anak yang dikarang oleh Raja Ali Haji. Kandungannya sangat berkait dengan integriti walaupun ianya dipersembahkan di dalam bentuk yang berbeza. Saya kongsi satu rangkap:
Mengerjakan kebenaran janganlah malas
Zahir dan batin janganlah culas
Jernihkan hati hendaklah ikhlas
Seperti air di dalam gelas
Walaupun integriti hanya dipopularkan di dalam beberapa dekad ini sahaja terutamanya di dalam konteks tadbirurus, ianya telah diserlahkan sebagai sebahagian dari tradisi Islam dari dahulu lagi. Jika kita bersetuju bahawa di zaman Rasulullah saw dan Sahabat, masjid merupakan tempat yang mana hal-hal kenegaraan dan kemasyarakatan dibincangkan selain dari perkara-perkara berkenaan aqidah, syariat dan adab, tentunya tadbirurus dan integriti telah dibahaskan di masjid-masjid dari dahulu lagi.
Perbincangkan semalam mengembalikan peranan masjid sebagai pusat perkembangan integriti dan tadbirurus secara lansung, tidak terselit di dalam bab-bab topikal yang sering dikaitkan dengan institusi masjid di dalam konteks yang sempit.
Saya berharap lebih banyak masjid membawa tokoh-tokoh masyarakat yang boleh membincangkan dan memberi inspirasi kepada jemaah untuk menghidupkan integriti di dalam apa sahaja perbuatan mereka termasuk pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan.