Saya telah memberi syarahan di Kulliyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa, sebagai salah satu tugasan sebagai Profesor Adjung di situ. Kali ini saya memilih tajuk “Dari Disinkronisasi Hingga Ke Kewarganegaraan Korporat Yang Baik” yang merangkumi beberapa isu penting yang saya mahu kongsikan dengan pelajar-pelajar yang hadir.
Perkara pertama yang saya sentuh ialah “disinkronisasi” yang saya petik dari Alvin Toffler di dalam bukunya Revolutionary Wealth. Untuk memahami perubahan, Toffler mencadangkan kita memahami perubahan di dalam 3 perkara asas yang diistilahkan oleh Toffler “deep fundamentals” iaitu tempat, masa dan ilmu.
Dipermudahkan oleh teknologi dan kecepatan maklumat disampaikan, seorang usahawan boleh berjual kepada pelanggan di seluruh dunia hanya dari rumahnya. Jualan pula dibuat di dalam masa-masa yang berbeza walaupun pada transaksi yang sama. Jika pembeli berada di Amerika, jualan yang dibuat di waktu pagi di Malaysia terjadi di waktu petang di Amerika. Di dalam masa yang sama, jangkahayat ilmu juga menjadi semakin pendek kerana apa yang dikira benar hari ini mungkin sebaliknya besok hari. Jika dahulu Pluto dikira sebagai sebuah planet, hari ini ianya sudah tidak layak dikategorikan sebagai planet kerana ada banyak lagi jisim yang lebih besar yang mengelilingi matahari yang baru diketahui.
Saya kemudiannya menyentuh berkenaan pentingnya tadbirurus di dalam kehidupan manusia. Ianya tidak terhad kepada tadbirurus korporat sahaja yang agak popular di sekolah-sekolah perniagaan. Kualiti tadbirurus di sektor kerajaan dan awam juga penting kerana ianya memberi kesan kepada kualiti kehidupan kita sebagai rakyat.
Tadbirurus dipengaruhi oleh siapa pihak yang berkepentingan, pihak pengurusan, pihak yang mentadbir dan kepimpinan di setiap peringkat. Malah, kepimpinan merupakan unsur utama yang mempengaruhi tadbirurus terutama bergantung kepada kemahiran, nilai dan keberanian pemimpin berkenaan untuk berbuat apa yang benar, walaupun tidak popular.
Perkara ketiga yang saya kongsikan ialah kewarganegaraan korporat yang baik. Mengapa ini penting? Syarikat-syarikat besar seperti Apple dan Google banyak menpengaruhi kehidupan masyarakat moden. Jika McDonald mahu menukar menunya, ia perlu membeli bahan mentah di seluruh dunia. Ini akan membawa kesan ekonomi yang besar. Kalau ia mahu mengurangkan pembelian mana-mana bahan, ramai juga orang yang akan terkesan. Bagaimana pula jika syarikat-syarikat besar ini menyalahgunakan maklumat peribadi kita yang mereka kumpul setiap hari?
Di zaman ini di mana organisasi-organisasi besar perlu menjadi lebih cekap di dalam usaha meningkatkan keuntungan, teknologi yang semakin canggih akan membolehkan mereka menggunakan tenaga manusia yang minima. Jika perkara ini berterusan, kita akan hidup di zaman yang mana perkembangan ekonomi tidak mengakibatkan peningkatan peluang pekerjaan. Siapa yang akan menjana kerja? Salah satu sektor penting ialah perushaan kecil dan sederhana.
Saya memberi contoh bagaimana syarikat yang dipengerusikan saya, BIMB Investment Management Berhad menggunakan teknologi untuk membuat pemilihan saham untuk tujuan pelaburan. Rakan niaga kami Arabesque ada teknologi yang boleh membaca data dari 50,000 sumber di dalam 15 bahasa bagi tujuan ini. Macamana manusia nak bersaing?
Di dalam masa yang sama, maklumat bukan kewangan yang ada di dalam kerangka pelaburan berintegrasi (integrated reporting) telah digunakan untuk mengurangkan risiko pelaburan dan meningkatkan pulangan. Oleh itu, faktor alam sekitar, sosial dan tadbirurus akan menjadi lebih penting untuk menjadian perushaan lebih lestari dan berdaya maju.
Perkara-perkara di atas memerlukan organisasi, institusi dan perushaan dipimpin oleh manusia-manusia yang mempunyai kemahiran, nilai dan keberanian. Para pemimpin ini kena yakin dengan nilai yang mereka bawa dan tidak mudah tergugat jika ada ancaman dari pelbagai pihak yang mahu melakukan kefasadan.
Saya telah ditanya oleh beberapa orang pelajar dengan persoalan berkenaan bagaimana mereka mahu mempertahankan nilai yang mereka percaya. Berdasarkan apa yang saya telah lalui, kita hanya boleh berbuat demikian jika kita mempunyai rekod pencapaian yang cemerlang. Oleh yang demikian, setiap pelajar perlu berazam menjadi cemerlang dan mempunyai kepandaian yang dicari-cari oleh pelbagai pihak.
Buat kena seperti cakap.