Setahun sekali saya cuba anjurkan perhimpunan adik beradik saya bersama anak dan menantu masing-masing. Kali ini kami berhimpun di Sungai Ular, Cherating, Pahang. Lebih 30 orang semuanya termasuk Pak Cik dan sepupu saya.
Inilah peluang untuk kami merapatkan kembali hubungan kerana masing-masing ada kehidupan masing-masing. Bagi anak-anak kami, inilah masa untuk rapatkan lagi hubungan dengan sepupu-sepupu mereka yang lain. Jangan nanti di kemudian hari, bersentuh hidung pun tak kenal.
Selain dari makan-makan, anak-anak kami juga ada menganjurkan permainan keluarga. Ada pukul bola golf, ada lempar dan sambut belon dengan kain dan beberapa permainan tradisi lain. Semua orang ambil bahagian, tu yang bagus.
Bila ada masa lapang saja, hampir semua terjun kolam. Mereka bermain polo air mengikut undang-undang sendiri. Ada yang lembut dan ada juga yang aggresif. Namun, oleh kerana semangat persaudaraan, semuanya senyum-senyum sahaja akhirnya.
Tempat yang kami pilih terletak berhampiran dengan jeti nelayan tempatan. Walaupun musim tengkujuh, kami boleh lihat bot-bot mereka keluar masuk di waktu pagi, ketika laut kurang bergelora.
Di hadapan jeti-jeti berkenaan ada timbunan pasir yang tinggi dan ada di antara kami yang menjadikannya gelongsor. Bila orang bandar masuk kampung, banyak pengalaman baru yang mereka rasai.
Kami juga pergi ke Pantai Mok Nik yang terletak beberapa kilometer sahaja dari kediaman kami. Ianya juga berhampiran dengan bandar Chukai, Terengganu. Terdapat beberapa kedai yang menjual makanan tempatan seperta Sata dan Kerepok Leko. Pantainya juga cantik. Kami ambil peluang untuk berfoto.
Adalah diharapkan pertemuan kali ini mengukuhkan lagi tali persaudaraan kami dan saya berdoa kepada Allah supaya kami dapat berkumpul lagi di tahun-tahun hadapan.