3 langkah yang boleh mengukuhkan aliran tunai perniagaan anda
Ada orang yang mengumpamakan aliran tunai perniagaan seperti darah manusia. Jika ia kering, punahlah perniagaan.
Ada 3 perkara yang anda boleh timbang bagi meningkatkan aliran tunai perniagaan:
Kutip bayaran dari pelanggan secepat mungkin. Bagi yang menjual secara tunai, ianya berlaku segera. Ada juga perniagaan yang mengambil deposit bagi pesanan yang besar. Dapat duit dahulu sebelum jualan disempurnakan. Jika nak jual secara kredit, jangan bagi lama-lama sangat dan hadkan jualan kredit kepada pelanggan yang ada kemampuan kewangan yang kukuh dan rekod pembayaran yang baik sahaja.
Dapatkan kredit dari pembekal. Mungkin pada permulaannya perniagaan anda perlu bayar tunai. Bina hubungan baik dengan pembekal dan jika boleh, tumpukan kepada beberapa pembekal sahaja. Baru perniagaan anda menjadi penting kepada mereka. Bila ada rekod bagus, runding untuk dapatkan kredit. Ini membolehkan anda meningkatkan pusingan perniagaan tanpa menggunakan tunai. Pastikan sentiasa membayar hutang pada masa yang dijanjikan.
Uruskan stok pada kadar optima. Jika terlebih beli stok secara tunai, modal perniagaan anda tersangkut di dalam stok sehinggalah ianya dijual dan tunai dikutip. Perhatikan jenis stok yang laju dan mana yang perlahan. Berhati-hati jika pembekal menawarkan stok pada harga murah, apa yang dia tahu yang kita tak tahu? Ada pasarankah untuk stok demikian? Jika permintaan mana-mana stok macam sudah menurun, turunkan harga dan jual cepat-cepat. Duit yang dikutip boleh digunakan untuk beli stok yang laku.
Ketiga-tiga langkah di atas hanya boleh dilaksanakan jika anda ada rekod yang tepat mengenai jualan, pelanggan, stok dan aliran tunai. Ini menunjukkan pengurusan rekod perniagaan akan membolehkan anda mengurus perniagaan dengan lebih berkesan.
Adalah wajib bagi setiap perniagaan menyediakan akaun bulanan. Jangan jadikan saiz perniagaan sebagai alasan. Jika tidak ada kemampuan, ambil perkhidmatan perakaunan dari firma perakaunan yang bertauliah.
Jika anda biarkan perniagaan berjalan tanpa memberikan tumpuan kepada pengurusan aliran tunai, jangan terkejut jika tiba-tiba akaun bank anda menjadi kering, stok bertimbun tidak terjual, ramai pelanggan lari tanpa membayar hutang dan perniagaan anda ada hutang di sekeliling pinggang.
Untung tinggi tapi tiada tunai di dalam perniagaan
Pernahkan anda mengalami situasi yang mana perniagaan semakin rancak, keuntungan meningkat tetapi kekeringan modal pusingan?
Ini adalah situasi yang biasa dihadapi oleh kebanyakan perniagaan. Keuntungan seperti yang dikira mengikut kaedah perakaunan tidak semestinya sama dengan peningkatan aliran tunai.
Mengapa ya?
Jika anda menjual secara kredit, jualan yang telah disempurnakan sudah dikira di dalam akaun sedangkan kutipannya mungkin diterima 30 atau 60 hari kemudian, berdasarkan tempoh kredit yang diberi kepada pelanggan.
Kalau barang yang dijual kita beli secara tunai dan kita jual pula secara kredit, lagilah cepat kering aliran tunai.
Stok yang dibeli tidak ditolak sebagai kos secara sepenuhnya tetapi hanya ditolak setakat mana yang terjual sahaja. Jika stok dibeli secara tunai, duit anda tersangkut di dalam timbunan stok berkenaan. Sebab itu perniagaan yang bijak hanya menyimpan stok setakat yang perlu sahaja.
Jika pernigaan sedang membesar, ia mungkin perlu melabur di dalam aset-aset baru seperti renovasi kedai, mesen, kereta dan seumpamanya. Jika aset-aset ini dibeli secara tunai, anda sudah menggunakan wang perniagaan anda sedangkan kos aset berkenaan disusutnilai di dalam akaun di sepanjang hayat ekonomi aset berkenaan.
Oleh yang demikian, anda perlu merancang strategi dan polisi perniagaan agar perkembangan perniagaan tidak menyebabkan perniagaan kekeringan aliran tunai dan bungkus.
Strukturkan pembiayaan berdasarkan aliran tunai perniagaan
Bagi mana-mana perniagaan ada dua sumber pembiayaan, modal dan hutang.
Modal bersifat jangka panjang yang mana pemodal akan mendapat pulangan dari keuntungan masa depan dan kenaikan nilai perniagaan. Ini bermakna perniagaan tidak perlu membayar balik modal melainkan melalui dividen atau hanya bila perniagaan ditutup. Lebih tinggi modal lebih stabil aliran tunai.
Pinjaman boleh dibahagikan kepada 2 jenis pula, jangka pendek dan jangka panjang. Lebih pendek tempoh pinjaman, lebih deras aliran tunai perniagaan keluar.
Satu punca masalah aliran tunai perniagaan ialah bila projek atau program perniagaan dibiayai dengan kaedah yang salah.
Contohnya, projek jangka panjang seperti pembinaan kilang dibiayai melalui overderaf bank. Oleh kerana tempoh membina kilang memakan masa dan aliran tunai yang kembali kepada perniagaan ialah bila barangan yang dikeluarkan terjual dan bayarannya dikutip, kaedah seperti ini akan memberi tekanan kepada perniagan.
Oberderaf bank atau apa-apa pembiyaan seperti ini lebih sesuai untuk perkara-perkara yang lebih pendek putarannya seperti membeli stok yang boleh dijual di dalam jangkamasa yang pendek.
Sebab itu pembelian kenderaan dibiayai dengan sewabeli yang mana jumlah bayaran balik ditetapkan di dalam satu tempoh yang lebih panjang. Ini akan membolehkan manfaat dari pembelian kenderaan di dalam bentuk aliran tunai dipadankan dengan tempoh pembayaran balik pembiayaannya.
Jika perniagaan anda mengalami kekangan aliran tunai, baik kaji balik cara pembiayaan perniagaan anda. Mungkin ada pembiayaan yang boleh disusun semula agar ianya berpadanan dengan aliran tunai perniagaan.