Pentingnya menguruskan rantaian bekalan di dalam membina perniagaan
Membina dan mengurus rantaian bekalan sudah menjadi satu dari perkara utama bagi kesemua syarikat besar-besar. Mengapa? Mereka beroperasi di pelbagai lokasi dan mempunyai pelanggan di pelbagai pasaran di muka bumi ini juga.
Apakah cabarannya bila ada banyak lokasi operasi dan pelanggan?
1. Macamana nak membuat produk yang sama dari segi kualiti bila ada banyak pembekal yang berbeza?
2. Macamana nak pastikan kos pengeluaran tidak berbeza dengan ketara berdasarkan lokasi operasi dan pelanggan?
3. Bagaimana pula nak uruskan logistik yang akan menjadi semakin kompleks dan boleh mempengaruhi tempoh bekalan dan kos jualan?
Satu syarikat yang amat pakar di dalam menguruskan rantaian bekalan ialah Li & Fung (https://www.lifung.com/) yang beribupejabat di Hong Kong. Ia kini mempunyai lebih dari 230 pejabat di dalam 40 pasaran diserata dunia. Li & Fung membina rangkaian bekalan bagi menghubungkan pasaran-pasaran ini dan boleh membekalkan barangan mengikut kehendak pelanggan pada kualiti, kos dan tempoh bekalan yang bersesuaian.
Kalau nak cepat, ia guna rantaian yang berbeza dengan rantaian bekalan yang biasa. Kena bayar lebih lah.
Bagi perniagaan yang kecil, isu rantaian bekalan mungkin tidak kritikal pada awalnya. Apa yang penting ialah kesedaran di dalam minda usahawan untuk membinanya selangkah demi selangkah. Bila perniagaan sudah membesar, aspek pengurusan ini sudah menjadi lazim dan sebati dengan aspek lain.
4 perkara yang perlu dinilai di dalam memilih pembekal
Di dalam perniagaan, kebanyakan usahawan berusaha bersungguh-sungguh untuk memasarkan produk atau perkhidmatan masing-masing. Kalau produk tidak laku, perniagaan boleh bungkus.
Macamana pula jika produk ada permintaan tinggi tapi pembekal tidak dapat menyokong perniagaan kita?
Mengurus rantaian bekalan juga sama mustahaknya dengan menguruskan pemasaran dan jualan. Ini adalah kerana kemampuan perniagaan untuk memenuhi kehendak pelanggan dan memuaskan hati mereka bergantung kepada bekalan barangan yang berkualiti, tiba pada masanya dan pada kos yang bersesuaian.
Oleh itu adalah penting agar pembekal dipilih dengan teliti supaya kelancaran perniagaan kita tidak terbatas.
Di antara ciri-ciri di dalam penilaian pembekal ialah:
1. Mutu produk yang mereka keluarkan. Ini boleh dinilai berdasarkan contoh-contoh yang diberikan oleh mereka. Pensijilan berkenaan proses pengeluaran boleh menambahkan keyakinan bahawa keupayaan mereka mengeluarkan produk secara sekata adalah tinggi.
2. Keupayaan untuk memenuhi permintaan kita perlu diambilkira dari awal. Jika pesanan kita kecil, mungkin mereka akan memberi keutamaan kepada pelanggan lain. Jika permintaan kita tinggi pulak, adakah pembekal mempunyai keupayaan pengeluaran yang cukup? Ini penting bagi memenuhi permintaan bermusim seperti di hari-hari perayaan.
3. Ketepatan hantaran pada masa yang dijanjikan adalah satu faktor penting agar perniagaan kita boleh memenuhi janji dan harapan pelanggan. Ini termasuk mengambilkira isu-isu logostik. Walaupun produk berkualiti dan harganya kompetitif, tidak ada gunanya jika ianya sampai selepas musim pelanggan membeli. Baju Hari Raya tidak boleh dijual selepas Hari Raya, sebagai contoh.
4. Satu perkara yang kurang diambil perhatian ialah kedudukan kewangan pembekal. Ada kalanya, mereka juga perlu kepada modal tambahan jika ada pesanan yang tinggi. Jika mereka tak cukup modal, macamana mereka nak penuhi pesanan kita? Kita juga tidak mahu jika pembekal tutup kedai bila perniagaan kita sedang naik. Nak tukar pembekal di dalam keadaan berkenaan akan menimbulkan masalah kepada kita.
Oleh itu setiap pembekal perlu dinilai berdasarkan faktor-faktor di atas agar rantaian bekalan kita sentiasa teguh dan tidak putus. Elok juga jika kita mempelbagaikan sumber bekalan agar kita boleh mengagihkan risiko kepada beberapa pembekal, bukan bergantung kepada satu sahaja.
Jika pembekal berada di luar negara, faktor-faktor tambahan seperti kesan tukaran asing, amalan tempatan, peraturan di negara luar dan bencana alam kena diambilkira juga.
3 perkara yang perlu diawasi bila perniagaan kita berada di atas rantaian bekalan orang lain
Bagaimana pula jika kita sendiri berada di atas rantaian bekalan orang lain? Ini adalah bagi perniagaan B2B, menjual kepada perniagaan lain, tidak kepada pelanggan runcit di pasaran terbuka. Contohnya, mengeluarkan sabun untuk dijual kepada syarikat jualan lansung.
Risiko perniagaan yang ada di atas rantaian bekalan orang lain merangkumi:
1. Pengucupan pasaran mereka akan menyebabkan jualan kita mengucup sama. Ini boleh terjadi ke atas pelanggan secara individu atau penguncupan industri berkenaan secara keseluruhan. Oleh itu kita perlu sentiasa mengikuti perkembangan permintaan ke atas barangan yang dijual oleh pelanggan yang membeli barangan kita.
2. Kalau kedudukan kewangan pelanggan lemah, ianya juga boleh menjejaskan aliran tunai perniagaan kita. Apa lagi jika jualan kepada pelanggan berkenaan peratusnya tinggi berbanding dengan jualan keseluruhan perniagaan kita. Jika mereka menjadi pelanggan utama, mereka juga akan meminta tempoh kredit yang panjang, mereka nak suruh kita biayai modal pusingan mereka. Oleh itu, kena berhati-hari bila meningkatkan jualan kepada pelanggan yang besar. Cuba nilai kekuatan kewangan mereka dengan mengkaji penyata kewangan yang ada.
3. Di dalam industri yang sentiasa berubah, spesifikasi produk yang diperlukan juga boleh berubah dengan cepat. Adakah perniagaan kita mempunyai daya kajian dan pembangunan (R&D) yang boleh melayan kehendak pelanggan? Jika kita lambat atau tidak boleh memenuhi spesifikasi pada kos yang pembeli mahu, mereka boleh cari pembekal lain.
Berhati-hati jika mahu membekal kepada pelanggan besar. Ramai usahawan mahu membekal kepada pasaraya, contohnya. Mereka biasanya membeli dengan jumlah yang besar, harga yang rendah dan tempoh kredit yang lama. Adakah perniagaan kita mempunyai kapasiti pengeluaran dan kewangan yang cukup bila berjual kepada pelanggan sebegini? Jangan kejar glamour tetapi akhirnya tersunkur kerana tak cukup modal.
Sebab itu di dalam perniagaan, kita kena pandang ke depan dan ke belakang. Ke depan untuk membaca arah aliran industri, permintaan dan kehendak pelanggan. Ke belakang supaya pembekal kita boleh terus menyokong kita.