Hadis berkenaan larangan Nabi kepada kepada penjual gandum yang meletakkan gandum yang basah di bawah dan yang kering di atas sering saya jadikan rujukan untuk beberapa perkara di alam korporat.
Pertama berkenaan kejujuran sebagai penjual. Barangan yang dijual mestilah jelas kualiti, berat, fungsi dan sebagainya. Di zaman moden ini, konsep ini menjadi asas kepada undang-undang seperti Akta Perihal Dagangan yang mengkehendaki barangan yang dijual sama dengan apa yang diiklankan supaya pembeli tidak tertipu.
Kedua pula berkenaan penzahiran atau disclosure. Di dalam sistem ekonomi konvensional mereka mengamalkan konsep “caveat emptor” yang mana pembeli kena berhati-hati bila membeli. Di sinilah cantiknya pengajaran di dalam hadis berkenaan gandum di atas yang mengkehendaki orang yang menjual menzahirkan apa yang dijualnya secara jujur supaya orang yang membeli tahu ciri-ciri barangan yang dibelinya.
Konsep penzahiran ini amat penting di dalam pasaran saham. Sebelum mana-mana saham ditawarkan kepada orang awam, perlu disediakan prospektus. Prospektus merupakan satu dokumen yang menzahirkan perkara-perkara seperti jenis perniagaan, kedudukan kewangan, siapa yang menjalankan perniagaan, risiko dan prospek syarikat yang mahu menjual sahamnya.
Bukan sahaja syarikat perlu menyediakan prospektus secara jujur, malah tanggungjawab untuk menzahirkan dengan adil (fair disclosure) di tanggung oleh pengarah, pengurusan dan juga pakar-pakar seperti akauntan, peguam, penilai dan penasihat-penasihat lain yang terlibat. Kalau tak buat betul-betul boleh dipenjarakan.
Penzahiran yang adil bukan sahaja dikehendaki semasa menjual saham malah Bab 9 Syarat-syarat Penyenaraian Bursa Malaysia memperuntukkan keperluan kepada penzahiran yang berterusan (continuing disclosure) yang mana konsep-konsep kejujuran dan ketepatan seperti di atas menjadi asasnya. Ini meliputi segala pengumuman termasuk penyata kewangan dan transaksi korporat yang penting secara berkala atau bila ianya perlu. Kegagalan untuk mematuhi kehendak ini juga boleh menyebabkan orang yang bertanggungjawab dipenjarakan.
Walaupun hadis berkenaan gandum ini nampak mudah tetapi prinsipnya amat luas penggunaannya. Jadi, sebagai orang yang beriman dengan sesungguhnya, kita akan melaksanakan amanah dengan kejujuran dan menzahirkan apa yang benar disetiap jawatan yang kita pikul, walaupun tidak ada undang-undang khusus mengenai apa yang kita buat itu kerana perkiraannya bukan sahaja di antara sesama manusia. Bila Nabi larang dan kita pula langgar, tentunya ianya akan dipersoalkan di hari Hisab nanti.
Kalau kita perhatikan piawaian perakaunan pun, konsep penzahiran adalah elemen yang penting. Di samping perkara perkara seperti mengiktiraf, mengira dan menilai, penzahiran adalah satu komponen yang tidak boleh diabaikan. MPERS ke, MFRS ke, IAS 39 ke, IFRS 9 ke, walaupun konsep asal mereka dibuat di London, konsep hadis jual gandum tu ada di dalamnya.
Di dalam perniagaan dan pengurusan, penzahiran ini biasanya diperlukan di peringkat akhir samada semasa jualan barangan yang kita beli dan proses atau untuk membolehkan orang menilai kerja kita seperti pengeluaran penyata kewangan yang merangkumi kegiatan perniagaan. Jadi, adakah kita hanya perlu jujur dan adil semasa menzahirkan atau kita kena jujur dan adil di sepanjang memegang amanah yang dipikul?
والله أعلم
Dari Pasar Buah Ke Pasaran Saham
