Saya menghadiri persidangan berkenaan kemahiran akauntan di era disrupsi yang dianjurkan oleh Ikatan Akuntan Indonesia, Asean Federation of Accountants dan International Accountants Education Standards Board di Nusa Dua, Bali.
Persidangan ini membariskan ramai pembentang yang berkualiti termasuk Presiden International Federation of Accountants (IFAC), Ketua Pengarah Kementerian Penyelidikan, Teknologi dan Pengajian Tinggi Indonesia yang mewakili menterinya dan mereka yang mewakili industri dan akademik. Seperti kebanyakan persidangan masa kini, disrupsi yang dipacu oleh perubahan teknologi yang cepat menjadi tumpuan utama. Persoalan utama ialah adakah akauntan mempunyai masa depan dan jika ya, apakah yang harus mereka lakukan.
Kesemua pembentang yakin bahawa profesion perakaunan akan terus menyumbang kepada masyarakat, di dalam ruang yang lebih tertumpu kepada meningkatkan nilai tambah dan memerlukan akauntan untuk berupaya menggunakan teknologi di dalam menjalankan kerja mereka. Mereka juga perlu berkoloberasi dengan pelbagai pihak kerana keperluan kepada ilmu dan kemahiran yang lebih berpelbagai akan menjadi biasa.
Apa yang menarik perhatian saya ialah kesediaan Indonesia untuk meliberalisasi pendidikan tinggi dengan memberi keluasan kepada universiti mereka untuk menggunakan pelbagai kaedah baru di dalam mendidik para pelajar. Ada disebutkan bahawa dengan menggunakan Facebook, pelajar akan lebih belajar berbanding dengan kaedah tradisional. Menarik.
Di peringkat industri pula, syarikat telekom terbesar di Indonesia sedang mengubah kaedah latihan dan pembangunan insan mereka termasuk memberi peluang kepada perkerja mereka memilih bidang tugas berdasarkan menu dan berkoloberasi di dalam menjalankan projek-projek di bawah tanggungjawab mereka.
Pokoknya, pendidikan masa depan adalah “self-led”, individu itu sendiri yang menetapkan apa yang dia mahu, macamana mahu belajar dan bagaimana dia boleh menyumbang kepada keunggulan organisasi. Ini bermakna seseorang individu itu tidak lagi boleh menyalahkan orang lain jika dia tertinggal di belakang kerana suasana tidak akan membenarkan dia hanya wujud sekadar penumpang. Lepas usaha barulah bertawakal, tak boleh tawakal tanpa usaha.
Kehadiran saya di persidangan ini juga memberi peluang kepada saya untuk bertemu mata dengan In-Ki Joo, Presiden IFAC, yang merupakan seorang kenalan dan juga Pak Ahmadi Hadibroto dan Pak Djoko Susanto yang merupakan akauntan-akauntan senior di Indonesia yang amat disegani. Mereka berdua banyak memberi tunjuk ajar kepada saya di dalam kepimpinan antara budaya khususnya di Asean.