Mencuri zaman dahulu tak sama dengan mencuri zaman sekarang – Ada Faham?

SnL78IJwSsOG6MycxJJIzQ

Di zaman dahulu wang dan harta seperti emas hanya wujud di dalam bentuk fizikal. Jadi ianya disimpan di dalam bilik kebal atau struktur padu supaya tidak boleh dibawa lari oleh pencuri dan penjenayah yang sewaktu dengannya. Untuk melakukan jenayah curi, kena pecahkan bangunan seperti Bank Pitis di Kota Bharu ini.

Di zaman ini, wang dan harta boleh wujud di dalam bentuk nombor-nombor elektronik di dalam pelbagai bentuk struktur samada deposit di bank, unit amanah, simpanan di institusi kewangan lain dan pelbagai aset baru. Untuk mencuri tak perlu pecahkan batu atau kayu tetapi cukup dengan memindahkan harta dalam bentuk elektronik ini ke dalam akaun yang dikawal oleh Sang Pencuri/Penjenayah atau orang-orang yang berkerja untuknya.

Jika kita kaji kes-kes jenayah kewangan yang besar-besar, kaedah yang digunakan hampir sama, cuma siapa yang memainkan peranan tu saja yang berbeza. Syarikat akan ditipu untuk melabur di dalam projek yang tidak wujud atau membeli aset pada harga yang berganda-ganda berbanding dengan nilai sebenar yang didapati. Untuk melakukan jenayah kewangan ini orang luar dan orang dalam biasanya berpakat. Perlu ada orang yang ada kedudukan atau kuasa untuk mendorong syarikat membuat keputusan seperti yang dikehendaki oleh Sang Penjenayah.

Harta yang dicuri kemudiannya dibawa lari dengan memindahkan harta-harta berkenaan di dalam pelbagai akaun di dalam dan di luar negara. Sebab itu, di samping ada undang-undang untuk cegah dan dakwa pencuri moden, ada juga undang-undang untuk mencegah dan menghukum penggubah wang haram.

Semakin hari, kaedah mengambil harta orang atau masyarakat secara batil ini semakin canggih sehinggakan nampak mulia dan terhormat. Malangnya di kalangan segolongan ahli masyarakat, mencuri masih lagi seperti mencuri dengan memecah masuk ke dalam Bank Pitis atau mencuri lembu atau kerbau kepunyaan mereka. Yang lain tu, silap-silap menjadi pujaan dan tepukan pulak.

Jika pencuri pitis, lembu atau kerbau di zaman dulu dikejar dan diambil tindakan, marilah kita menghambat dan menangkap pencuri-pencuri dan penyanggak yang mencuri duit dan harta-harta lain secara moden ini. Jika tidak, kefasadan moden akan menjadi semakin meluas dan akhirnya, kita, anak, cucu dan cicit kita sebagai ahli masyarakat yang akan membayar kosnya.

Jenayah kewangan: Di antara silap, cuai, takut, bomoh dan tumpang sekaki

Biasanya di dalam mana-mana organisasi, ada sistem kawalan dalaman supaya organisasi berkenaan tidak tersalah membuat keputusan yang boleh memudaratkan. Contohnya, kalau nak membuat pelaburan atau membiayai pihak lain, kenalah ada proses-proses tertentu supaya dana yang diberikan bukan sahaja selamat tetapi membawa pulangan yang munasabah.

Satu dari kaedah kawalan dalaman ialah pengasingan tanggungjawab yang mana ada orang yang proses, ada yang semak, ada yang rekomen dan ada yang luluskan apa-apa cadangan pelaburan atau pembiayaan.

Di samping pengasingan tanggungjawab, ada pula perkara-perkara yang mesti diambilkira seperti kajian kemungkinan, jangkaan prestasi kewangan dan aliran tunai, rekod pencapaian, pegawai-pegawai utama dan banyak perkara lain yang membolehkan daya maju mana-mana cadangan dinilai secara objektif dan profesional.

Jika jenayah kewangan masih berlaku dan akan terus berlaku, mengapa langkah-langkah kawalan dalaman seperti di atas gagal menghalangnya?

Dari pengalaman saya ada 5 kemungkinan:

  • Orang yang terlibat tersilap di dalam membuat keputusan walaupun sudah ada proses yang mantap;
  • Orang yang terlibat cuai di dalam menjalankan tugas-tugasnya dan tidak mengambilkira faktor-faktor penting yang memang diberikan kepadanya;
  • Orang yang terlibat mendapat tekanan dan takut akan kedudukannya di dalam organisasi atau pun keselamatan fizikal dan keluarganya terancam walaupun dia tahu apa yang disokong atau diluluskan itu salah;
  • Orang yang terlibat tahu dia membantu jenayah tetapi yakin bantuannya itu akan memberikan “manfaat yang lebih besar” yang dia pun mungkin tak berapa jelas; dan
  • Orang yang terlibat merupakan salah satu dari penyanggak yang mahu melakukan jenayah dan tumpang sekaki di dalam hasil jenayah kewangan berkenaan.

Ada satu lagi kemungkinan, kesemua orang dibomohkan, tetapi saya belum berjumpa dengan keadaan berkenaan.

Sebagai kesimpulan, kita boleh adakan sistem dan proses untuk mempastikan kepentingan organisasi dijadikan asas kepada mana-mana keputusan namun oleh kerana insan yang menjalankan sistem dan proses berkenaan boleh terdedah kepada perkara-perkara di atas, jenayah kewangan tetap boleh berlaku.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s