Syukur kepada Allah kerana semalam saya dan isteri saya merayakan ulang tahun perkahwinan kami yang ke 35. Pada hari Khamis malam Jumaat pada 2 Januari 1986 kami telah dinikahkan di rumah isteri saya di Kampung Kubur Kuda, Kota Bharu.
Kami bertemu di Perth, Australia, ketika kami belajar di sana. Bila saya nyatakan hasrat saya untuk mendirikan rumah tangga dengan wanita dari Kelantan, kawan-kawan saya telah memperkenalkan saya kepada beliau. Setelah berkenalan seketika, kami membuat keputusan untuk berkahwin.
Saya menghubungi ayah saya dan menyatakan hasrat saya untuk berkahwin di Australia. Dia tanya mengapa saya tidak tunggu dahulu dan habiskan pelajaran? Saya jawab ” kalau tak kahwin, tak boleh nak belajar”. Keluarga kami bersetuju cuma mereka mahu kami berkahwin di Kelantan di akhir tahun. Kita ikut sahajalah.

Selama 35 tahun berkahwin, telah banyak perkara yang kami lalui bersama. Anak kami, Abdul Hadi, lahir di Perth, Western Australia, setahun selepas kami berkahwin. Menjaga anak kecil ketika kedua-dua dari kami masih belajar tentunya mencabar. Nasib baik ramai kawan-kawan yang sudi membantu menjaga Abdul Hadi ketika saya dan isteri saya ke kuliah di Western Australian Institute of Technology. Kini ianya dikenali sebagai Curtin University.
Ketika anak kedua saya, Nur Hafizah, lahir di Kota Bharu, saya berkerja di Kuantan. Ketika kamu pulang ke Malaysia pada tahun 1987 ekonomi Malaysia sedang menghadapi kemelesetan ekonomi. Ramai graduan yang menganggur. Kerajaan mewujudkan Skim Latihan Siswazah yang mana graduan diberi gaji RM 400 sebulan ketika berkerja dengan kerajaan di dalam pelbagai jawatan. Saya memulakan kerja sebagai pegawai kewangan di sebuah kedai menjual Proton yang ketika itu laku macam pisang goreng panas.
Kemudian kami berpindah ke Kuala Lumpur dan menyewa di Taman Greenwood. Saya membeli dapur masak dan peti sejuk sahaja pada mulanya. Bila ibu mertua saya datang melawat, dia sangka saya ni orang dakwah, tak mahu hidup senang. Dia tak tahu bahawa hanya itulah yang kami mampu ketika itu. Ketika itu beli belah hanya di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman. Bila balik, naik bas panjang sambil pegang beg plastik serta tangan anak-anak.
Isteri saya menumpukan perhatian kepada penjagaan anak-anak. Dia tak pernah berkerja. Saya pula mencari rezeki di sebuah firma perakaunan. Dari situ saya kemudiannya membuka firma perakaunan sendiri pada awal tahun 90an. Sedikit demi sedikit kehidupan semakin mudah. Anak pun semakin ramai. Nur Hanani, Muhammad Hazim, Nurul Aliah dan Hanna Yasmin nembesarkan lagi bilangan ahli keluarga kami.
Bila saya mengenang kembali apa yang kami lalui bersama, saya bersyukur dikurniakan Allah isteri yang memahami saya dan keperluan saya untuk membina kerjaya dan melaksanakan tanggung jawab saya di setiap kedudukan yang saya tanggung. Tanpa sokongan dan dorongan dari beliau, tentunya sukar untuk menghadapi cabaran dari segi profesional, kewangan dan emosi.
Saya berdoa semoga Allah merahmati kami sekeluarga dan disatukan kami kembali di dalam syurgaNya.