Ini mungkin satu topik berat yang tidak popular dan tidak akan viral. Mengapa? Bila kita mahu menyumbang kepada penjagaan alam, kita kena menahan kehendak kita seperti tidak menebang hutan kekal yang berbaki, mengurangkan penggunaan bahanbakar petroleum dan pelbagai perkara lagi yang “biasa” bagi kita. Tak syok lah.
Apakah sebenarnya isu perubahan iklim ini? Mudah sahaja. Banyak perbuatan dan amalan manusia menyebabkan karbon yang terperangkap di bumi ini terlepas ke udara. Pelepasan karbon menyebabkan lapisan pelindung cahaya matahari di udara semakin nipis. Ini pula akhirnya menyebabkan suhu di muka bumi ini semakin meningkat.
Peningkatan suhu bumi akan mencairkan air batu di khutub utara dan selatan, menambahkan jumlah air di dunia. Di dalam masa yang sama, bila suhu meningkat, air akan mengembang. Ini semua akan menyebabkan paras laut akan meningkat dan banyak tanah rendah di seluruh dunia akan tenggelam termasuk tanah pertanian yang digunakan untuk membekalkan makanan kepada manusia.
Di samping pelepasan karbon melalui pembukaan hutan, tanah yang gondol tidak mampu menahan air hujan dari masuk ke sungai-sungai dengan cepat. Tanah yang dibawa masuk ke sungai menjadikan sungai semakin cetek pula. Kesemua ini akhirnya dibayar oleh manusia melalui kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa bila banjir berlaku.

Sebenarnya, isu ini mencabar kita untuk bertanya kepada diri sendiri bumi macamanakah yang mahu kita wariskan kepada cucu cicit kita? Seperti apa yang ada, yang lebih baik atau pun bumi yang terkesan teruk dengan perubahan iklim? Tepuk dada tanya selera.
Bukanya Tuhan tidak memberi amaran berkenaan kesan sikap dan perangai kita ke atas alam ini.
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Ar Rum: 41
Seperti biasa, ada manusia yang mengambil berat pesanan dan larangan Allah dan ada juga yang tidak ambil kisah. Kita termasuk di dalam kumpulan mana?
Kepentingan menjaga alam memang kini dititik beratkan oleh negara-negara Barat. Bila ini berlaku, orang di sini pula kata “Memanglah, mereka telah merosakkan alam sekitar mereka sebelum ini. Sekarang mereka nak kita jaga alam untuk anak cucu mereka lah tu”. Benarkah pemikiran seperti ini?
Saya ada sebidang tanah kecil di Batang Kali. Sungai Batang Kali mengalir di sebelah tanah ini. Bila hujan air dari huju akan terkumpul di sini dan boleh bertukar menjadi banjir. Bayangkan bagaimana keadaan di sini 30 tahun dari sekarang bila suhu dunia semakin panas? Mungkin disebabkan inilah saya lebih perihatin dengan isu perubahan iklim.

Pelabur-pelabur institusi kena mula menjadikan isu-isu perubahan iklim sebagai agenda penting dan menyatakan dengan jelas perkara ini melalut tindakan pelaburan mereka. Oleh kerana kerajaan Malaysia sudah komited dengan mahu mengurangkan pengeluaran karbon sebanyak 45% menjelang tahun 2030, hasrat ini perlu sokongan pelabur-pelabur institusi.
Semoga setiap dari kita akan mencari ruang untuk menyumbang kepada pengurusan alam yang lebig bertanggungjawab dan mengurangkan kesan perubahan iklim ke atas cucu cicit kita. Tentunya kita tidak mahu mereka menanggung kesan tindakan kita yang lebih mementingkan keuntungan tanpa berkira masa depan yang akan diwariskan kepada mereka. Bukankah kita setiap hari melaungkan kepentingan bangsa dan negara? Tentunya mereka termasuk di dalam kumpulan yang kita perjuangkan itu walaupun mereka belum lahir lagi ke dunia hari ini.