Ini adalah perkara yang biasanya tidak seronok untuk dibincangkan kerana ianya melibatkan pematuhan undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan bentuk perniagaan, industri yang diceburi, transaksi yang dibuat dan perkerja yang diambil.
Sekarang, perniagaan boleh ditubuhkan di dalam beberapa struktur undang-undang, syarikat terhad, perkongsian terhad, perkongsian dan perniagaan perseorangan. Setiap bentuk perniagaan mempunyai kedudukan undang-undang dan kehendak pematuhan yang berlainan.
Bagi syarikat terhad, samada syarikat persendirian atau awam, perjalanannya mestilah mematuhi Akta Syarikat. Ini meliputi perkara-perkara berkenaan penerbitan saham, perlantikan pengarah dan cara membuat keputusan, samada oleh pemegang saham atau pengarah. Setiap tahun, retan tahunan dan penyata kewangan beraudit hendaklah diserahsimpan ke Pendaftar Syarikat.
Walaupun perkongsian liabiliti terhad merupakan sebuah entiti tersendiri dan memberi perlindungan kepada rakankongsinya (jika tidak terlibat di dalam perkara yang menimbulkan liabiliti), kehendak pematuhannya adalah lebih mudah berbanding dengan syarikat terhad. Walau bagaimanapun, retan tahunan dan akaun tahunan perlu diserahsimpan dengan Pendaftar setiap tahun.
Perniagaan perseorangan dan perkongsian tidak mewujudkan satu entiti undang-undang secara berasingan. Ini bermakna peniaga yang berniaga dengan kaedah-kaedah ini boleh disaman secara peribadi dan harta persendiriannya terdedah kepada tindakan lelong jika dia gagal menjelaskan tuntutan dan hutang. Namun, kehendak pematuhan amat ringkas.
Selain dari perkara-perkara di atas, kesemua perniagaan tertakluk kepada Akta Cukai Pendapatan dan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (jika jualan melebihi RM 500 ribu setahun). Ini mengkehendaki usahawan untuk mematuhi pelbagai kehendak akta-akta tersebut, khususnya menyimpan rekod berkenaan transaksi-transaksi perniagaan. Adalah mustahak usahawan mendapatkan nasihat professional dari perunding cukai yang berkelayakan agar tidak terlepas pandang apa-apa perkara yang mesti dipatuhi, samada bulanan atau tahunan.
Banyak atau sedikit bebanan pematuhan lain bergantung kepada industri yang diceburi. Setiap industri mempunyai undang-undang dan peraturannya yang tersendiri. Jika mahu menjadi kontraktor kena berdaftar dengan CIDB, umpamanya.
Terdapat pelbagai kehendak pematuhan perkenaan perkerja seperti caruman KWSP dan SOCSO dan retan-retan tertentu berkenaan penggajian mereka yang dikehendaki oleh Lembaga Hasil dalam Negeri.
Kaedah yang terbaik untuk mempastikan kesemua undang-undang dipatuhi, satu senarai semak berkenaan undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkenaan dengan perniagaan hendaklah diadakan. Kemudian, perincikan perkara-perkara yang perlu dipatuhi mengikut masa atau bila aktiviti-aktivi tertentu dilakukan. Tahap pematuhan hendaklah disemak setiap bulan kerana kegagalan mungkin menyebabkan perniagaan didenda dan operasi boleh terjejas.