Selepas 61 tahun barulah ada pertukaran kerajaan di peringkat pusat. Ini sudah berlaku beberapa kali di negeri-negeri. Sekarang barulah kita boleh kata “orang politik datang dan pergi, institusi awam tetap kekal untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Institusi awam wujud untuk kepentingan awam. Kita ada polis, tentera, kehakiman, bank pusat, badan pencegah rasuah dan pelbagai institusi lagi. Kita juga ada agensi awam seperti Felda, KWSP dan Tabung Haji yang ditubuhkan untuk mencapai objektif-objektif besar untuk kesejahtaraan rakyat.
Dari segi objektif penubuhan, saya tidak nampak masalah. Yang menjadi persoalan ialah adakah institusi-institusi berkenaan berjalan selari dengan objektif-objektif penubuhan mereka?
Ada dua perkara utama yang perlu ada bagi membolehkan mereka mencapai objektif-objektif tersebut:
Adakah mereka ditadbir dan diurus oleh orang-orang yang ada kemampuan dan nilai yang berkenaan? Adakah mereka ini jujur kepada matlamat institusi?
Adakah sistem tadbirurus yang diamalkan membolehkan institusi-institusi berkenaan berjalan dengan baik dan adakah semakan dan imbangan yang berkesan?
Kerajaan baru telah membuat kenyataan bahawa keutuhan institusi-institusi awam akan dinilai dan jika perlu, akan ada perubahan. Tentunya persoalan-persoalan di atas akan diambilkira.
Perlu diingatkan di sini, institusi-institusi awam diwujudkan untuk kita, bukan untuk menjadi tuan kepada kita. Jika orang yang mentadbir dan mengurusnya lupa dan melupakan kepentingan rakyat, orang-orang sebegini perlu direhatkan dan diganti dengan orang-orang yang lebih mampu dan jujur.
Ini satu ruang yang tentunya akan ada banyak perubahan dalam tempoh yang terdekat.
Sebagai rakyat, kita kena jaga kepentingan kita. Jika ada mana-mana institusi yang mula lupa peranan sebenar mereka, kita kena ingatkan dan usaha supaya mereka kembali ke lorong yang sepatutnya.
#takapakujur