
Bermula tahun 1966 saya tinggal bersama Atok dan Nenek di Kota Bharu, tidak bersama ibubapa saya di Machang. Ketika itu adik saya baru dilahirkan. Selain saya, Atok dan Nenek pernah juga menjaga beberapa insan lain dari keluarga kami.
Atok ni seorang yang istimewa. Dia manusia merdeka yang mencari rezeki yang halal dengan pelbagai cara. Dia pernah membawa barangan hutan dari hulu Kelantan ke Kota Bharu dengan menggunakan rakit untuk dijual. Pernah ada kedai jahit, kedai emas dan kedai jam.
Dari segi pendidikan beliau, saya tidak tahu. Dia bagitahu saya dia pernah belajar menggunakan papan batu, batu bukit dinipiskan seperti kertas dan digunakan sebagai tempat menulis. Tulisan jawinya ماشاءالله amat cantik dan kemas.
Kakaknya, Mok Sah, belajar agama di Makkah dan mengajar agama dan Al Quran di rumahnya yang bersebelahan dari rumah kami. Bayangkan di zaman itu seorang wanita belajar sampai ke Makkah. Tentunya mereka datang dari orang yang menitik beratkan ilmu dan agama.
Atok bagitahu saya dia pernah berjumpa dengan Tok Kenali. Mengikut Atok, pernah seorang hamba Allah minta Tok Kenali tolong doakan beliau. Tok Kenali tanya “kamu berbalah dengan Allah ke sampai tak boleh doa sendiri?”
Segala perihal kewangannya Atok rekodkan dengan rapi, dia tahu dia hutang siapa, berapa. Mungkin disiplin yang dia dapat ketika berniaga. Dia amat runsing tentang hutangnya sehinggalah dia menjual rumah kedainya di Kota Bharu untuk menjelaskan hutangnya. Selepas itu barulah dia nampak tenang sekali.
Dari segi politik Atok dan Nenek adalah penyokong tegar PAS. Ketika Asri mahu memperkenalkan PAS di Kelantan semasa pilihanraya tahun 1959, Atok pernah membayar tambang perahunya. Ketika itu mereka berlawan dengan kapal layar, bukan dacing seperti sekarang. Dia juga selalu bercerita tentang kehidupan di zaman Inggeris dan Jepun dan perjuangan mereka di ketika itu.
Bila saya berumur 6 tahun ibubapa saya mahu hantar saya belajar di Fatima Convent supaya saya boleh belajar di Bahasa Inggeris. Atok tidak menghalang. Saya tidak pelik kerana agama dan aqidah ditanam di rumah, bukan di sekolah. Itu tanggungjawab ibubapa dan penjaga, bukan diswastakan kepada orang lain.
Saya pun tak pernah berasa didakwahkan atau dipengaruhi oleh guru-guru di sana walaupun sekolah itu bersebelahan dengan gereja. Yang saya belajar ialah menghormati sesama manusia walaupun berbeza agama, budaya dan warna kulit. Ini yang saya bawa hingga hari ini.
Saya berterima kasih kepada Atok dan Nenek di atas didikan mereka dari pelbagai aspek kehidupan terutamanya agama, nilai dan adab. Semoga Allah merahmati mereka, mengampunkan dosa mereka dan memasukkan mereka di kalangan nabi-nabi, siddiqin, syuhada dan solihin.
i only entered fatima kindergarten when i was 5-6 yrs old. so were my younger bro & 2 of my cuz’s.
we used to take the ‘teksi’ (beca) to go/return to/fr the kindergarten. i can still vividly ‘see’ in my memory how the pakcik ‘gatih’ so luboriosly with 3-4 of us on his ‘teksi’ under the hot sun or on rainy days. may all his efforts b accepted by Him.
LikeLike