Di dalam satu perbicaraan di mahkamah saksi ada menyatakan bahawa pihak kerajaan yang menjamin hutang satu syarikat telah membayar kesemua pembayaran balik hutang bagi pihak syarikat tersebut untuk mengelakkan “event of default” atau “peristiwa kemungkiran”.
Apakah maksudnya peristiwa kemungkiran ini dan mengapa kerajaan beria-ia untuk mengelakkannya?
Sebelum penjelasan seterusnya, jenis-jenis hutang dan tanggungan kerajaan adalah seperti berikut:
- Hutang yang diambil di atas nama kerajaan secara lansung (ada RM 741 bilion pada akhir tahun 2018);
- Hutang yang diambil oleh agensi atau syarikat berkaitan kerajaan yang dijamin oleh kerajaan yang TIDAK MAMPU DIBAYAR oleh agensi atau syarikat berkenaan; dan
- Komitmen kerajaan di bawah projek Public Private Partnership (PPP), contohnya pihak swasta akan bina bangunan dan kerajaan bersetuju dan menjamin untuk menyewanya.
Berbalik kepada isu kemungkiran hutang, ianya berlaku bila peminjam gagal untuk melaksanakan tanggungjawabnya di bawah perjanjian hutang seperti membayar faedah/ keuntungan atau membayar balik hutang pada tempoh seperti yang dipersetujui dengan pihak yang memberi pinjam.
Jika ada di antara perkara di atas berlaku, pihak yang memberi pinjaman boleh mengisytiharkan berlakunya peristiwa kemungkiran. Kesannya, kesemua jumlah yang terhutang kena dibayar pada ketika itu dan pihak yang memberi pinjaman boleh melakukan melaksanakan kesemua haknya termasuk menyaman penjamin dan merampas harta, jika peristiwa kemungkaran telah diisytiharkan.
Bila kerajaan berhutang atau menberi jaminan hutang, biasanya dimasukkan juga perkara “cross default” atau kemungkiran bersilang di dalam perjanjian hutang. Apa pulak ni?
Peruntukan ini menyatakan jika berlaku kemungkiran hutang dengan satu pihak, maka kerajaan dikira sudah mungkir di dalam kesemua hutang-hutangnya dengan pihak lain dan kerajaan perlu membayar kesemua hutang tersebut pada ketika itu juga.
Jadi, di dalam contoh kes yang dibicarakan di mahkamah di atas, jika kerajaan tidak membayar faedah yang ditanggung oleh syarikat yang dijaminnya itu, pihak yang memberi pinjam boleh mengisytiharkan peristiwa kemungkiran sudah berlaku. Akibatnya:
- Hutang yang mungkir itu kena dibayar;
- Hutang kerajaan yang berjumlah RM 741 bilion itu kena dibayar; dan
- Hutang-hutang lain agensi, syarikat dan PPP yang ada jaminan kerajaan kena dibayar.
Kesemuanya, disebabkan klausa kemungkiran bersilang, menjadikan hutang dan tanggungan kena dibayar serentak. Apa akan jadi kepada kedudukan kewangan dan ekonomi negara jika ini berlaku?
Sebab itulah baru-baru ini ditubuhkan Debt Management Office (DMO) untuk menguruskan hutang dan jaminan kerajaan dengan lebih sistematik termasuk syarat untuk menberi jaminan, bila agensi boleh berhutang dan kos/faedah yang perlu dibayar.